Tiga beradik miskin tidak sabar ke sekolah

Tiga beradik miskin tidak sabar ke sekolah

MOHD. Nazari Sabran (kiri) memakaikan baju sekolah kepada tiga beradik yang akan memulakan persekolahan tidak lama lagi di Langkap di Pasir Salak, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Tiga beradik di Kampung Parit 8, Chikus, Langkap di sini yang tidak bersekolah kerana kemiskinan selepas dilaporkan Utusan Malaysia baru-baru ini, tidak sabar untuk kembali ke sekolah tidak lama lagi.

Mereka ialah Nurul Adawiyah Zaharon, 12, dan Mohamad Adam Zaharon, 9, yang akan bersekolah di SK Chikus manakala Mohammad Safuan Azhar, 15, pula di SMK Sungai Manik.

Mereka akan bersekolah dalam masa terdekat dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak dan UMNO Bahagian Pasir Salak yang menguruskan kemasukan mereka ke sekolah.

Tiga beradik itu berkata, mereka sangat gembira dapat memulakan persekolahan apatah lagi semua kelengkapan persekolahan sudah pun dibeli.

Nurul Adawiyah berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga membolehkan dia dan abang serta adiknya bersekolah.

Katanya, dia akan belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

“Saya tidak sabar untuk bersekolah, semua kelengkapan persekolahan sudah pun dibeli. Saya mahu belajar bersunggh-sungguh untuk berjaya dan membantu keluarga,” katanya.

Mohammad Safuan juga gembira kerana akan kembali ke sekolah selepas tercicir pelajaran setakat Tingkatan 1.

“Saya tidak akan sia-siakan bantuan pelbagai pihak yang membantu kami bersekolah. Kami tiga beradik akan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang berguna seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Norhayati Yusop, 44, berkata, dia menerima nasihat dan pesanan daripada banyak pihak yang membantu keluarganya terutama menguruskan kemasukan sekolah tiga anaknya.

“Saya akan menjaga anak-anak saya dengan baik dan memastikan mereka belajar bersungguh-sungguh. Saya hargai pihak yang membantu, jika tidak, tak tahu apa akan jadi pada anak saya,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd Nazari Sabran yang mengunjungi keluarga itu berkata, pihaknya memberikan bantuan RM1,000 sekali bayar kepada keluarga itu.

“Keluarga ini juga menerima bantuan sebanyak RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM400 daripada Baitulmal termasuk bantuan tiga buah basikal untuk memudahkan tiga beradik ini pergi dan balik sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN