KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, pagi tadi.
Difahamkan, baginda bersama-sama rombongan tiba di puncak gunung berketinggian 4,095.2 meter dari aras laut itu, selepas menempuh perjalanan lebih dua jam. Cuaca baik di puncak tertinggi di rantau ini menyambut kedatangan baginda dan rombongan.
Rombongan pendakian itu disertai 56 peserta terdiri pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (Paskau) serta pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Semalam, baginda dan rombongan memulakan pendakian dari pondok Timpohon kira-kira jam 8.05 pagi dengan bacaan doa selamat dipimpin Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar.
Terdahulu, baginda diberikan taklimat pendakian oleh Penolong Pengurus Taman-Taman Sabah, Julaimin Kamil.
Ekspedisi berkenaan mencerminkan semangat kepemimpinan, ketahanan fizikal serta disiplin tinggi yang diterapkan Tengku Hassanal terutama kepada generasi muda dan pasukan keselamatan negara.
Selain menjadi puncak tertinggi di rantau ini, gunung itu terletak dalam kawasan Taman Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia (UNESCO) kerana nilai biodiversiti dan kepentingan konservasinya.
Taman Kinabalu juga menerima pengiktirafan sebagai kawasan teras dalam Kinabalu UNESCO Global Geopark KUGGp dengan kawasan seluas 4,750km persegi merangkumi Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau.
Dalam perkembangan berkaitan, ratusan pendaki Gunung Kinabalu teruja apabila berpeluang bergambar kenangan bersama Tengku Hassanal sempena Ekspedisi Mahkota Borneo di Sabah. – UTUSAN









