Pertikai titah Tengku Mahkota Pahang cerminan gagal fahami federalisme

Pertikai titah Tengku Mahkota Pahang cerminan gagal fahami federalisme

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim yang menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti latihan ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan kepulauan negeri itu disifatkan wajar dan perlu dihormati semua pihak.

Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, titah baginda sewajarnya disambut baik kerana mencerminkan kecaknaan institusi diraja terhadap aspek pemuliharaan alam sekitar termasuk ekosistem, flora dan fauna di wilayah Kesultanan Pahang.

Menurut beliau, tohmahan pihak tertentu yang mendakwa titah tersebut sebagai tidak berperlembagaan adalah biadab selain menunjukkan kecuaian dalam memahami kedudukan Tengku Mahkota Pahang serta konteks sebenar latihan ketenteraan yang dimaksudkan.

“Sebagai Tengku Mahkota Pahang, baginda boleh ditugaskan oleh Raja Pemerintah untuk mengambil tanggungjawab tertentu dan perkara itu dibenarkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang.

“Dalam konteks titah Tuanku, baginda menzahirkan tadbir urus yang perlu dipatuhi dalam aktiviti latihan ketenteraan yang ingin dilaksanakan di wilayah Kesultanan Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pihak yang cuba menyinggung titah tersebut perlu membezakan antara tindakan ketenteraan di bawah bidang kuasa keselamatan dan pertahanan Persekutuan dengan aktiviti latihan ketenteraan.

Katanya, meskipun soal keselamatan, pertahanan dan ketenteraan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Senarai I Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, perkara itu tidak bermaksud hak negeri diketepikan.

“Semua pihak perlu ingat bahawa kuasa itu adalah amanah yang diberikan oleh Raja Pemerintah Negeri bagi maksud menjamin kemaslahatan negeri, bukannya mengambil hak negeri.

“Wilayah kedaulatan negeri selaras dengan sifat federalisme Malaysia perlu difahami,” katanya.

Menurut beliau, tiada mana-mana pihak akan mempertikaikan tindakan ketenteraan sekiranya berlaku keadaan darurat atau ancaman luar yang memerlukan respons segera daripada pasukan keselamatan.

Namun katanya, keadaan tersebut berbeza dengan isu dibangkitkan Tengku Mahkota Pahang kerana ia melibatkan aktiviti latihan ketenteraan dan bukannya tindakan responsif terhadap ancaman tiba-tiba.

“Titah Tengku Mahkota Pahang untuk menetapkan tadbir urus dalam aktiviti latihan adalah wajar dan tidak sepatutnya dipertikaikan.

“Apatah lagi jika ada pihak tertentu cuba mewujudkan keadaan seolah-olah berlaku pertembungan pandangan terhadap titah baginda,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi analogi tindakan polis dalam situasi tertentu bagi menjelaskan perbezaan antara tindakan penguatkuasaan sebenar dengan aktiviti latihan.

“Misalnya tindakan polis yang terpaksa menceroboh masuk rumah persendirian kerana mempunyai reasonable suspicion daripada credible information mengenai kegiatan jenayah di dalamnya adalah wajar dan berperlembagaan.

“Sebaliknya, jika polis menceroboh masuk dan memecahkan pintu rumah persendirian semata-mata untuk tujuan latihan, pastinya tindakan itu salah dan tidak berperlembagaan,” katanya.

“Ada kaedah yang lebih harmoni untuk melaksanakan aktiviti latihan, dan titah Tengku Mahkota Pahang menunjukkan satu kebijaksanaan dalam pengurusan antara Persekutuan dan Negeri,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN