PETALING JAYA: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menghadap Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Qasr Al Bahr, Abu Dhabi semalam.
Pertemuan yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut disertai Jawatankuasa Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) dan memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai usaha memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar di peringkat global.
Tengku Hassanal kini berada di Abu Dhabi bagi rangka lawatan kerja sehingga 15 Oktober ini.
Baginda turut dijadual menghadiri Kongres Pemuliharaan Dunia IUCN 2025 serta mengadakan beberapa pertemuan dua hala termasuk menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi.
Lawatan ini mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam mendukung kerjasama antarabangsa untuk melindungi alam sekitar dan memajukan agenda pembangunan mampan. – UTUSAN










