Tembak hanya kaki lembu, elak bahaya kepada petugas  - MB  - Utusan Malaysia

Tembak hanya kaki lembu, elak bahaya kepada petugas  – MB 

Abu Bakar Hamzah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah tampil memberi penjelasan  berhubung video tular beliau menembak seekor lembu sedang mengamuk pada program korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis, semalam.

Abu Bakar berkata, lembu berkenaan yang terlucut tali telah mengamuk dan boleh mengundang mudarat atau bahaya kepada para petugas sebagaimana berlaku di tempat lain sehingga ada menyebabkan kematian.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis itu, beliau hanya menembak ke arah kaki lembu dan selepas itu, proses penyembelihan dilakukan seperti biasa.

“Kita buat program korban membabitkan 25 ekor lembu. Hanya seekor talinya terlepas lari dan mengamuk. Jadi, kita terpaksa hentikanlah daripada mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang ramai.

“Tembak hanya mengenai kaki, kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa,” katanya di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, Abu Bakar turun padang mengetuai proses penyembelihan 25 ekor lembu bersempena program korban perdana kawasan DUN Kuala Perlis di Dataran Lok 9 di sini.

Pada majlis itu, Abu Bakar menyembelih sendiri kesemua 25 ekor lembu berkenaan dan dagingnya diagihkan kepada hampir 5,000 penduduk di kawasan tersebut.

Kes lembu korban mengamuk ketika proses penyembelihan sering kali dilaporkan, terbaharu di Ulu Tiram, Johor Bahru kelmarin  membabitkan kerbau mengakibatkan seorang lelaki maut, dan seorang lagi cedera.

Dalam pada itu, polis memaklumkan belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung penularan video berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihak polis mengambil maklum mengenai rakaman video tersebut yang  tular sejak semalam dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti jenis peluru dan senjata digunakan.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil Menteri Besar dalam masa terdekat bagi membantu siasatan lanjut insiden berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN