PETALING JAYA: Beberapa kali berdepan situasi sama membuatkan penyanyi Haqiem Rusli tampil meluahkan rasa pelik dengan sikap segelintir individu yang gemar menyanyikan lagunya ketika bertemu, namun enggan menegurnya secara berdepan.
Haqiem atau Ridzuan Haqiem bin Rusli, 28, berkata, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana dia sudah beberapa kali berdepan situasi sama.
“Memang sudah banyak kali perkara ini berlaku. Daripada datang menegur dan menyapa ‘Hi Haqiem’, ada segelintir orang memilih untuk menyanyikan lagu saya dengan kuat apabila nampak saya.
“Apabila saya pandang ke arah mereka, mereka pula tidak mahu menegur dan buat tidak tahu,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Menurut penyanyi lagu Tergantung Sepi itu, dia pada awalnya berasa hairan dengan tindakan tersebut memandangkan individu berkenaan seolah-olah mahu menarik perhatiannya tetapi enggan berinteraksi apabila diberi respons.
“Saya pun fikir, kalau begitu biarlah. Kalau awak sombong, saya pun boleh jadi sombong.
“Tetapi kalau awak senyum, saya pun akan senyum semula,” ujarnya.
Terdahulu, Haqiem telah menceburi industri hiburan sejak kecil menerusi rancangan realiti kanak-kanal popular, Idola Kecil Musim 1.
Untuk rekod, Haqiem terkenal dengan lagu-lagu hit yang sering mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) seperti Tergantung Sepi, Jatuh Bangun, Semuanya, Lembah Kesepian, dan Mimpi.










