IPOH: Hujan berterusan lebih dua jam malam semalam mengakibatkan berlaku runtuhan tanah sekali gus menyebabkan jalan utama ke Kampung Pos Yum di Sungai Siput di sini terhalang.
Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, masa kejadian berlaku pada pukul 1.05 petang tadi dengan hakisan dan runtuhan tanah mengenai struktur jalan.
Bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat dalam bencana tersebut.
Mengikut kronologi kejadian, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Unit Sungai Siput menuju ke lokasi tersebut selepas menerima maklumat dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.
“APM Unit Sungai Siput (U) membuat pemantaun di sekitar kawasan tanah runtuh. Hasil pemeriksaan mendapati berlaku hakisan dan runtuhan tanah mengenai struktur jalan yang menyebabkan jalan utama ke Kampung Pos Yum terhalang,” menurut jurucakap sekretariat itu hari ini.
Kampung Pos Yum terletak kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Sungai Siput.
Kerja-kerja bagi membuka laluan terhalang telah dijalankan oleh pihak kontraktor, menurut sekretariat itu. – UTUSAN










