KUALA TERENGGANU: Tali dipasang pada bot penyelamat tercabut menjadi punca tiga pekerja syarikat perkapalan maut manakala seorang lagi cedera parah ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Platform Sepat di perairan Terengganu/Kelantan, dekat simi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa, Mohd, Taufik Mohd Ruslan, 37, mengalami kecederaan parah akibat patah tulang dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, semua mangsa menaiki sebuah lifeboat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform berkenaan.
“Bagaimanapun, tali atau ‘hook’ yang dipasang pada bot penyelamat itu dipercayai tercabut menyebabkan semua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama bot tersebut,” katanya hari ini.
Azli berkata, pasukan penyelamat kemudian membawa semua mangsa naik semula ke platform sebelum mereka diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini kira-kira pukul 4 petang.
Katanya, semua mangsa tiba di LTSM pada pukul 5 petang sebelum dibawa ke Unit Kecemasan HSNZ untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, tiga daripada mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ. Ketiga-tiga mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk bedah siasat manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan,” katanya. – UTUSAN










