KUALA LUMPUR: Semua syarikat di negara ini diminta untuk menjamin kesejahteraan pekerja mereka dengan mengagihkan keuntungan supaya pekerja dapat menikmati kadar gaji yang lebih tinggi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, harapan dan mesej jelas itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya harap syarikat-syarikat besar dapat meneliti apa bantuan sokongan terutama daripada aspek gaji dan perlindungan buat para pekerja dapat ditingkatkan tanpa menjejaskan keuntungan yang diperoleh melalui usaha penat lelah para pekerja sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan manfaat pertumbuhan ekonomi perlu diagihkan lebih seimbang dengan pekerja dan menggesa syarikat untuk bertanggungjawab serta tidak mengejar keuntungan semata-mata.
Anwar berkata, kemajuan ekonomi negara tidak seharusnya meminggirkan golongan pekerja yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan dan kestabilan negara.
Menurut beliau, pengalaman pelaksanaan dasar gaji minimum lebih tinggi sebelum ini membuktikan syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), masih mampu mencatat keuntungan walaupun meningkatkan bayaran upah kepada pekerja.
Dalam pada itu, Fahmi mengucapkan tahniah kepada wartawan, Tarrence Tan Jian Wai dan Radio Televisen Malaysia (RTM) yang menerima anugerah Media Terbaik.
“Saya turut sangat berbangga kerana rakan-rakan media termasuk saudara Terence yang buat pertama kali saya lihat beliau memakai baju suit dengan tai, menjadi tokoh pekerja media yang terbaik untuk negara, saya sangat berbangga. Tahniah juga untuk RTM.
“Saya turut berbangga kerana Telekom Malaysia (RTM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menerima anugerah. Kedua-dua badan ini berpangkalan di Lembah Pantai iaitu di kawasan saya,” katanya.-UTUSAN










