Susun semula bandar lama

Susun semula bandar lama

AMIRUDIN (tengah) bersama tetamu dan wakil Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ketika ditemui di Majlis Peluncuran Coffee Table Book Selayangku Sayang: Bandaraya Pintar 2030 di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Kerajaan tempatan berisiko menanggung beban pembaikan semula kemudahan asas sekiranya pembangunan baharu dilaksanakan tanpa mengambil kira keupayaan infrastruktur sedia ada.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, risiko itu perlu dielakkan terutama di kawasan lama yang sudah padat dan memerlukan susun atur semula secara lebih menyeluruh.

Katanya, pembangunan di kawasan seperti itu tidak boleh dibuat secara kecil-kecilan kerana ia perlu mengambil kira keperluan jangka panjang penduduk termasuk jalan, longkang, bekalan air dan jaringan infrastruktur sokongan.

“Di sinilah cabaran kepada kita semua. Bagaimana kita hendak merancang pembangunan di kawasan-kawasan sebegini?

“Kalau tidak dirancang dengan teliti, kita bimbang akan wujud pembangunan yang tidak tersusun, termasuk kawasan perumahan yang dibina tanpa mengambil kira keperluan infrastruktur asas.

“Akhirnya, kemudahan seperti longkang, jalan dan bekalan air tidak mencukupi, lalu kerajaan tempatan terpaksa membaiki semula satu demi satu selepas masalah berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Coffee Table Book Selayangku Sayang: Bandaraya Pintar 2030 di sini, kelmarin.

Amirudin berkata, perkara itu perlu diberi perhatian dalam perancangan pembangunan Selayang yang kini disasarkan mencapai status bandar raya menjelang 2030.

Beliau berkata, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) perlu melihat semula keseluruhan pelan pembangunan kawasan itu supaya pembangunan masa depan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu dan tidak bersifat runcit.

“Ini adalah masanya untuk kita duduk dan lihat kembali keseluruhan pelan pembangunan supaya kita tidak merancang secara runcit atau kecil-kecilan.

“Kita ada master plan kerana impian kita besar. Impiannya adalah untuk menjadikan Selayang sebuah bandar raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN