Sultan Selangor kongsi peringatan tentang ahli politik kaya

Sultan Selangor kongsi peringatan tentang ahli politik kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat, Harry S. Truman, berhubung ahli politik yang mengkayakan diri ketika berkuasa.

Dalam satu hantaran di Facebook Pejabat Diraja Selangor malam tadi, baginda ‘terkesan’ dengan satu petikan yang dikaitkan dengan Presiden Amerika Syarikat ke-33 itu

Petikan pertama yang dikongsikan baginda berbunyi: No one can get rich in politics unless he’s a crook bermaksud ‘tiada seorang pun mampu menjadi kaya melalui politik melainkan dia seorang penyeleweng.’

Baginda turut berkongsi petikan kedua yang berbunyi: If the wealthiest people in a society are its politicians, that society is fundamentally corrupt. (Jika golongan paling kaya dalam sesebuah masyarakat terdiri daripada ahli politik, maka masyarakat itu pada asasnya telah dirosakkan oleh rasuah.)

Perkongsian yang turut diringi lagu Apokalips oleh Datuk M. Nasir itu, bagaimanapun, tidak memperincikan sindiran tersebut dituju kepada pihak mana, namun Pejabat Diraja Selangor memaklumkan baginda mahu petikan yang dikongsikan itu dijadikan sebagai ‘renungan’ kepada rakyat.

Semalam, Majlis Dewan Diraja Selangor menegaskan bahawa Sultan Sharafuddin amat menitikberatkan tindakan berkesan berbanding janji kosong dalam menangani masalah rakyat.

Dalam satu kenyataan, majlis itu berkata sebarang nasihat, teguran dan peringatan daripada sultan merupakan panduan penting daripada seorang pemerintah bagi memastikan pentadbiran negeri dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN