Suami isteri warga emas maut nahas dua kereta - Utusan Malaysia

Suami isteri warga emas maut nahas dua kereta

KEADAAN kereta yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan pasangan suami isteri warga emas di Batu 5, Jalan Maharajalela, Teluk Intan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Batu 5, Jalan Maharajalela di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.40 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan segera diatur gerak ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu jenis Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun dan Toyota Vios yang dinaiki pasangan suami isteri berusia 70 tahun.

“Ketiga-tiga mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing dan mengalami kecederaan namun pasangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketua operasi menjalankan penilaian situasi sebelum mengaplikasikan konsep Saver dengan mengarahkan anggota menggunakan peralatan khas seperti ‘hydraulic tools’ dan pengusung bagi mengeluarkan mangsa.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan manakala mayat pasangan suami isteri itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi berjaya dikawal pada pukul 3.30 petang dan tamat sepenuhnya pada pukul 4.20 petang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN