KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisha Retno enggan melayan dakwaan berhubung hantaran berkaitan hutang yang dimuat naik penyanyi, Yuka Kharisma di media sosial, yang didakwa menyindir dirinya.
Menurut Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam, 26, dia tidak mahu memberikan sebarang komen memandangkan namanya tidak disebut secara langsung dalam hantaran tersebut.
“Saya tiada komen mengenai perkara itu sebab individu berkenaan tidak menyebut nama saya.
“Dia tidak salah, mungkin hanya mahu meluahkan apa yang terpendam. Jadi, saya tidak ada komen mengenai perkara itu.
“Saya hanya mahu fokus kepada diri sendiri sahaja. Perkara seperti ini, mahkamah adalah jalan terakhir sekiranya isu berlarutan.
“Jadi, kalau nak menyalak, silakan. Tidak mengapa, asalkan dia tidak menyebut nama saya,” katanya.
Aisha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Latihan Pestapora di Royal Selangor Club, Bukit Kiara, hari ini.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sutera itu menjelaskan dia tidak pernah menerima sebarang ajakan untuk berbincang atau bertemu bagi menyelesaikan sebarang kemelut yang didakwa berlaku antara mereka.
“Sekali lagi, saya tiada komen kerana semua ini hanya berlaku di alam maya. Kami tidak pernah ada perjumpaan atau perbincangan mengenai perkara ini.
“Jadi, saya tidak tahu bagaimana mahu memberikan respons. Biarlah pihak yang lebih arif menyelesaikan perkara ini.
“Saya hanya mahu meneruskan kehidupan dan fokus kepada perkara lebih penting seperti Anugerah Juara Lagu, Puteri Gunung Ledang, Pestapora dan juga perancangan untuk mengeluarkan album,” katanya.
Walaupun namanya hangat diperkatakan dalam aplikasi Threads, Aisha menganggap situasi tersebut sebagai ujian daripada Allah SWT.
“Saya anggap ini sebagai satu jentikan daripada Allah kerana Allah itu adil. Kadang-kadang apabila kita diberikan rezeki, Allah akan menguji sedikit untuk melihat bagaimana kita memberi respons.
“Secara umumnya, apabila kita berada di atas, jangan terlalu selesa.
“Kadang-kadang rezeki juga datang bersama cabaran. Jadi, kita perlu sentiasa bersyukur dan bersedia,” katanya.
Terdahulu, Yuka Kharisma memuat naik hantaran berbentuk sindiran menerusi aplikasi Threads mengenai hutang yang didakwa masih belum dilangsaikan oleh seorang individu popular.
Walaupun tidak mendedahkan identiti mana-mana pihak, warga maya mula mengaitkan nama Aisha Retno memandangkan Yuka sebelum ini hampir menjadi penganjur konsert solo penyanyi tersebut. – UTUSAN










