Selesai ibadah Mina, jemaah mula pulang ke Mekah

Selesai ibadah Mina, jemaah mula pulang ke Mekah

JEMAAH Malaysia mula bergerak balik ke Mekah selepas selesai melontar tiga jamrah di Mina, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Ribuan jemaah haji Malaysia mula bergerak meninggalkan Mina secara berperingkat menuju ke Mekah selepas selesai melaksanakan ibadah melontar tiga jamrah pada hari Tasyrik.

Mereka kembali ke hotel penginapan dengan menaiki bas yang disediakan Tabung Haji (TH) sebelum meneruskan ibadah tawaf dan saie bagi me­nyempurnakan rukun haji.

Walaupun keletihan selepas beberapa hari berada di masyair, wajah jemaah tetap kelihatan tenang dan bersyukur kerana berjaya menyempurnakan antara kemuncak ibadah haji dalam keadaan lancar dan terkawal.

Pergerakan jemaah dikawal rapi petugas TH bersama pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan proses keluar dari Mina berjalan teratur selain mengelakkan kesesakan di laluan utama menuju ke Mekah.

Cuaca panas melebihi 40 darjah Celsius tidak menghalang semangat jemaah, malah ramai mengambil peluang memperbanyakkan zikir dan doa sepanjang perjalanan meninggalkan bumi Mina.

Seorang jemaah, Siti Mariam Hassan, 34, berkata, walaupun keadaan panas dan perjalanan agak jauh, dia tetap bersyukur dapat menyempurnakan ibadah tersebut dengan baik.

“Ini pengalaman yang sa­ngat bermakna. Walaupun penat, hati rasa tenang dan kuat selepas berjaya menyelesaikan ibadah di Mina,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman, Abdul Rahman Ismail, 52, berkata, suasana di Mina yang dipenuhi jutaan jemaah dari seluruh dunia menjadikan ibadah melontar jamrah satu pengalaman yang cukup menginsafkan.

“Dalam keadaan panas dan sesak, kita benar-benar belajar erti sabar, disiplin dan pengorbanan sepanjang menunaikan haji,” katanya.

Selepas tiba di Mekah, jemaah dijadual meneruskan beberapa ibadah lain termasuk tawaf wada’ sebelum menunggu giliran pulang ke tanah air masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×