Sektor semikonduktor di Pulau Pinang kekal kukuh

Sektor semikonduktor di Pulau Pinang kekal kukuh

CHOW Kon Yeow berucap pada majlis menandatangani MoU antara PCEB dan Marriott International Malaysia bagi mempromosikan Penang Golf Challenge, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sektor semikonduktor di Pulau Pinang kekal stabil di sebalik konflik Asia Barat yang terus berpanjangan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, industri elektrik dan elektronik (E&E) termasuk semikonduktor terus mencatatkan prestasi memberangsangkan walaupun terdapat kebimbangan gangguan ekonomi global susulan konflik berkenaan.

Menurut beliau, permintaan terhadap produk semikonduktor juga masih kukuh, didorong oleh perkembangan pesat teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan global.

“Sektor E&E dan semikonduktor adalah sektor yang masih kukuh. Kita jangka minat masih kuat dan permintaan terus meningkat,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) dan Marriott International Malaysia bagi mempromosikan Penang Golf Challenge, hari ini.

Sebelum ini, Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kesan krisis bekalan global dijangka mula dirasai rakyat Malaysia dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

Menurut Kon Yeow, perkembangan teknologi semasa menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan sektor berkenaan, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di negeri ini.

Katanya, walaupun terdapat konflik geopolitik yang boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan global setakat ini Pulau Pinang tidak berdepan gangguan serius dalam operasi industri tersebut.

“Kalau ada pun impak, mungkin dari segi logistik seperti kos penghantaran yang meningkat sedikit, tetapi secara keseluruhannya sektor ini masih kukuh,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri kekal optimistik terhadap prospek industri semikonduktor dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Menurutnya, kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama E&E di Malaysia terus menjadi tarikan kepada syarikat multinasional dan pelabur asing.

“Dengan perubahan teknologi seperti AI dan inovasi digital, kita melihat permintaan ini akan kekal dan terus berkembang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN