Seberang yang tak sampai

Seberang yang tak sampai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seluruh keluarga Syed Bukhari sudah bersiap-sedia untuk berangkat ke bumi Hijaz bagi menunaikan ibadah haji. Peti-peti kayu sudah dikemaskan, kain ihram sudah dilipat rapi, bekalan makanan kering juga telah tersedia untuk perjalanan panjang yang entah berapa minggu lamanya. Malah, isterinya, Sharifah Maryam, sejak seminggu lalu tidak putus-putus mengingatkan anak-anak supaya menjaga adab sepanjang musafir.

“Jangan banyak merungut nanti,” pesan Sharifah Maryam sambil melipat telekung putih miliknya. “Perjalanan ke Mekah bukannya macam pergi ke pekan.”

Anak bongsunya, Syed Yusuf, yang masih mentah usianya, memandang dengan mata bercahaya. “Ayah, betul ke kita akan nampak Kaabah?”

Syed Bukhari tersenyum tipis. “Kalau Allah izinkan.”

Di Tanah Melayu ketika itu, perjalanan menunaikan haji bukan perkara kecil. Pada tahun-tahun itu, ramai jemaah berangkat dengan kapal laut dari Pulau Pinang, Melaka atau Singapura. Para jemaah akan mengharungi laut berminggu-minggu. Malah ada yang sampai berbulan-bulan.

Bagi sesetengah keluarga beragama Islam di Tanah Melayu, menunaikan ibadah haji adalah satu impian seumur hidup. Ada yang menjual tanah, ada menyimpan wang bertahun-tahun, ada menunggu rambut memutih sebelum berpeluang menjadi tetamu Allah.

Syed Bukhari termasuk dalam golongan yang bernasib baik. Dia seorang saudagar kain yang agak berada. Namun wang yang dimilikinya tidak pernah menjadikan hatinya leka. Sejak muda, cita-citanya hanya satu.

Menjejakkan kaki ke tanah suci bersama keluarganya.

Namun cita-cita manusia kadang-kadang tidak pernah sempat bertemu takdir. Pagi itu, langit kelihatan muram. Angin bertiup ganjil, seolah-olah membawa khabar tidak enak. Dari kedai kopi di hujung jalan, orang ramai berkerumun di sekeliling radio.

“Jepun dah mara sampai ke utara! Kelantan sudah dikuasai tentera Jepun!”

Suara-suara cemas bertindih-tindih. Syed Bukhari yang baru keluar dari rumah segera melangkah ke arah kumpulan itu.

“Apa yang berlaku?” Tanyanya.

Seorang lelaki tua berpaling. Wajahnya tegang.

“Perang, Orang Kaya Bukhari. Jepun sudah masuk Tanah Melayu.”

Kata-kata itu membuatkan Syed Bukhari tergamam. Beberapa hari sebelum itu, berita tentang serangan Jepun di Kota Bharu sudah mula tersebar dari mulut ke mulut. Ada yang percaya akan berita itu. Dan ada juga yang menganggapnya sekadar khabar angin. British selama ini terlalu sombong dengan kekuatan mereka. Siapa sangka koloni British seperti Tanah Melayu digugat begitu cepat oleh kuasa Jepun.

“Jadi, perjalanan kapal laut?” Syed Bukhari bertanya perlahan. Lelaki itu menggeleng.

“Laut pun tak selamat sekarang.”

Syed Bukhari pulang dengan langkah berat. Di muka pintu rumah, Sharifah Maryam sudah menanti kepulangan suaminya. Syed Bukhari diam seketika sebelum melepaskan keluhan panjang.

“Nampaknya, kita tak jadi berangkat ke Haramain.”

Wajah isterinya berubah. Syed Yusuf yang mendengar terus mencelah, “Kenapa, ayah?”

Syed Bukhari memandang anaknya lama. Sukar hendak menerangkan kepada anak berusia 10 tahun bahawa dunia orang dewasa ini sering dihancurkan oleh kerakusan kuasa.

“Dunia sedang berperang.”

“Dengan siapa?”
“Dengan manusia yang tamakkan tanah orang lain.”

Dari kejauhan, kedengaran bunyi kapal terbang membelah perut langit. Bunyi itu masih asing bagi kebanyakan penduduk kampung, tetapi cukup untuk membuat dada sekalian masyarakat rasa berdebar.

Syed Bukhari mendongak. Wajahnya keras.

“Ayah marah?” Tanya Yusuf perlahan. Syed Bukhari meletakkan tangan pada bahu anaknya kemudian berkata, “Bukan marah kerana tak dapat ke Mekah.”

Dia berhenti sejenak dan menyambung, “Ayah marah kerana ada manusia yang suka merampas hak orang lain.”

Tanah Melayu ketika itu, ramai masih percaya penjajah kulit putih akan terus melindungi kesejahteraan mereka. Hakikatnya perang mengajar satu perkara. Bahawa penjajah tetap penjajah. Kononnya hendak bawa keamanan, hakikatnya menjarah tanah air orang lain.

Bagi Syed Bukhari, tertangguhnya ibadah haji akibat peperangan yang sedang melanda bukan sekadar gagalnya sebuah perjalanan. Hakikatnya, ia seolah-olah perampasan sebuah impian suci oleh kerakusan manusia.

Namun jauh di sudut hatinya, dia tetap akur dan reda terhadap ketentuan Allah SWT. Kadangkala, jalan menuju Baitullah memang menuntut ujian yang lebih panjang daripada sekadar meredah lautan yang bergelora.

Malam itu, selepas anak-anaknya tidur, dia duduk di serambi rumah bersama Sharifah Maryam. Lampu minyak yang malap melemparkan bayang-bayang panjang pada dinding papan rumah.

“Abang fikir tentang kedai kita ke?” tanya Sharifah Maryam perlahan.

Syed Bukhari mengeluh sebelum menjawab, “Ya. Tapi bukan pasal kedai saja aku fikirkan.”

“Pasal apa lagi? Harta simpanan kita?” Tanya Sharifah Maryam sekali lagi.

Syed Bukhari hanya mampu mengangguk perlahan. Sharifah Maryam diam lama. Dia faham benar maksud suaminya. Sebelum kehadiran kuasa Jepun, orang ramai mengenali keluarga Syed Bukhari sebagai saudagar kain yang disegani. Malah, di kampung mereka, rumah Syed Bukhari yang paling besar di kampung itu.

Masyarakat setempat gelar dia, ‘Orang Kaya Bukhari.’ Dan dia sedar, jika Tanah Melayu bakal mengalami pergolakkan kerana peperangan, nama dan darjat tidak lagi menjamin apa-apa.

“Allah yang beri, Allah juga yang ambil,” kata Sharifah Maryam dengan lembut, cuba menenangkan.

Syed Bukhari tersenyum hambar sebelum menjawab, “Betul. Tapi kita juga diperintah berikhtiar.”

Beberapa hari kemudian, keadaan di Tanah Melayu semakin merisaukan. Kuasa British yang selama ini dianggap kebal rupa-rupanya senang sahaja digulingkan oleh tentera Jepun. Khabar tentang tentera Jepun mara ke selatan sampai lebih cepat daripada surat khabar. Orang ramai bercakap di kedai kopi, di surau, di kaki lima pekan dan di mana-mana saja.

Ada juga yang mengatakan Jepun datang sebagai pembebas benua Asia daripada cengkaman penjajah Barat. Dan ada juga yang percaya bahawa Jepun datang sebagai penjajah yang penuh muslihat kejam.

“Penjajah tetap penjajah,” kata Pak Imam Sanip selepas solat Maghrib di surau kampung, sambil membetulkan serbannya. “Cuma wajahnya berbeza.”

Syed Bukhari yang duduk di saf belakang mengangguk perlahan. Tidak lama kemudian, khabar buruk yang sering diperkatakan oleh orang ramai menjadi nyata. Tentera Jepun mula memasuki pekan mereka.

Suasana yang dahulu riuh dengan suara penjual dan pembeli bertukar muram. Kedai-kedai mula ditutup. Ada yang menyembunyikan beras, ada yang menyorokkan wang dalam tempayan, ada juga yang menanam barang kemas di belakang rumah. Syed Bukhari sendiri terpaksa mengangkat beberapa gulung kain mahal dari kedainya untuk disimpan di dalam rumahnya.

“Kalau mereka jumpa macam mana ayah?” Tanya anak sulungnya, Syed Hamzah.

“Kalau jumpa, itu rezeki yang Allah tarik semula.”

“Kalau tak jumpa?”

“Bererti Allah masih beri peluang pada kita.”

Namun peluang itu tidak bertahan lama. Pada suatu pagi, bunyi hentakan but tentera Jepun bergema di halaman rumah. Sharifah Maryam yang sedang menyusun cawan terus membeku.
“Abang…”

Syed Bukhari bangun perlahan. Tiga tentera Jepun berdiri di luar bersama seorang lelaki tempatan yang menjadi penterjemah. Atau tali barut. Seorang lelaki Melayu dalam lingkungan usia 30-an. Namanya Kassim.

“Nama engkau Syed Bukhari?”

“Ya.”

“Saudagar kain di pekan?”

Dia mengangguk. Penterjemah itu menjeling ke dalam rumah sebelum berkata, “Mereka nak geledah rumah engkau.”

Tanpa menunggu izin, tentera-tentera Jepun itu meluru masuk. Almari dibuka. Peti diperiksa. Kain-kain yang tersimpan dicampak ke lantai. Syed Yusuf mula menangis ketakutan. Sharifah Maryam cuba menenangkan anak kecil itu, tetapi tangannya sendiri menggigil. Seorang tentera Jepun yang sedang menggeledah bilik utama tiba-tiba berhenti. Tangannya memegang sebuah peti kayu kecil yang selama ini disimpan rapi di bawah katil.

Jantung Syed Bukhari seakan terhenti.

“Itu…” suara Sharifah Maryam terputus.

Tentera itu cuba membuka peti tersebut, tetapi Syed Bukhari meluru ke depan.

“Jangan!”

Muncung senapang segera dihalakan ke dadanya. Kassim memandang tajam lalu bertanya, “Ada isi apa dalam peti ini?”

Syed Bukhari menggenggam penumbuk. Nafasnya turun naik.

“Itu hak aku!”

Tentera Jepun itu memecahkan mangga peti dengan hentakan kasar. Penutupnya terpelanting. Ikatan wang yang disimpan bertahun-tahun untuk perjalanan haji bertaburan.

Sharifah Maryam menekup mulut kerana tergamam lalu berkata, “Ya Allah…”

Kassim ketawa lalu berkata, “Banyak juga orang tua ni simpan duit.”

Syed Bukhari memandang wang-wang itu seperti melihat cebisan impian yang dipijak.

“Itu duit haji aku,” katanya perlahan, namun cukup kuat untuk didengar.

Kassim mengangkat bahu lalu menjawab, “Sekarang duit engkau jadi duit tentera Maharaja.”

Tentera Jepun mula mengutip wang itu. Dan pada saat itulah, sesuatu dalam diri Syed Bukhari pecah. Dia menerjah ke depan, menolak tangan tentera yang memegang wang simpanannya. Seorang lagi tentera terus menghentak belakang tubuhnya dengan popor senapang hingga dia terjatuh. Namun Syed Bukhari bangun semula.

“Abang, jangan!” jerit Sharifah Maryam.

“Bertahun-tahun aku kumpul itu!” suaranya pecah. “Semua itu untuk rumah Allah!”

Kassim mendengus dan berkata, “Rumah Allah?”

Syed Bukhari mengesat darah yang meleleh di bibir.

“Ya. Rumah Allah. Bukan untuk penjajah mencuri!”

Kassim mencebik. Seolah-olah kata-kata Syed Bukhari tidak lebih daripada angin lalu. Tentera Jepun terus mengutip wang bertaburan di lantai seperti mengutip barang rampasan perang.

Dada Syed Bukhari turun naik menahan marah. Matanya beralih kepada lelaki tempatan itu. Seorang lelaki yang wajahnya sebangsa dengannya, lidahnya bertutur bahasa yang sama, malah mungkin pernah sujud ke arah kiblat yang sama.

“Engkau…” suara Syed Bukhari serak, tetapi tajam. “Engkau orang Islam, bukan?”

Lelaki itu terkaku seketika.

“Jawab!” herdik Syed Bukhari. Sharifah Maryam tersentak. Syed Yusuf semakin meraung dalam pelukan ibunya.

“Engkau orang Islam, bukan?” Ulang Syed Bukhari, suaranya kini lebih keras. “Sampai hati engkau bersekongkol dengan penjajah untuk menindas saudara seagama engkau sendiri?”

Wajah Kassim berubah kemudian berkata, “Ini zaman perang.”

“Zaman perang?” Syed Bukhari ketawa hambar, penuh luka. “Jadi perang sudah menghalalkan engkau menjual maruah?”

“Diam!”

“Engkau tahu duit itu untuk apa?” Syed Bukhari menuding ke arah peti yang pecah. “Untuk aku menjadi tetamu Allah! Duit yang aku kumpul bertahun-tahun. Hasil titik peluh aku. Dan engkau berdiri di sini, jadi anjing

suruhan penjajah untuk merampasnya?”

“Cukup!” bentak penterjemah itu, wajahnya merah padam.

Namun Syed Bukhari seperti sudah tidak peduli.

“Kalau penjajah itu, aku faham kenapa mereka menjarah!” suaranya bergegar memenuhi rumah. “Tapi engkau? Engkau yang sepatutnya tahu halal haram? Engkau yang tahu apa ertinya saudara seagama?”

Lelaki itu mengalihkan pandangan, rahangnya menegang.

“Kadang-kadang, musuh paling hina bukan yang datang dari laut seberang sebaliknya yang lahir di tanah sendiri,” Syed Bukhari menyambung.

Sejurus kemudian, tamparan kuat singgah di wajah Syed Bukhari sehingga dia terjatuh di atas lantai. Syed Yusuf menjerit menangis. Namun Syed Bukhari bangun semula. Seorang tentera Jepun yang hilang sabar mengokang senapang.

Sharifah Maryam meluru ke depan cuba meminta belas ihsan, “Jangan! Tolong!”

Syed Bukhari menoleh buat kali terakhir kepada isteri dan anak-anaknya. Wajahnya tenang. Seolah-olah perasaan amarah tadi sudah luruh.

Syed Bukhari memandang isterinya sambil berkata, “Jangan menangis. Kalau aku tak sempat ke Baitullah…”

Dia menarik nafas, matanya berkaca lalu berkata: “Katakan pada Tuhan dan Rasul kita, aku kirim salam sayang dan rindu.”

Dentuman senapang memecah udara. Tubuh Syed Bukhari rebah di atas lantai rumahnya sendiri. Wang-wang untuk haji itu bertaburan di sekeliling darahnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN