PATTANI (THAILAND): Seorang anggota polis terbunuh selepas sekumpulan lelaki dipercayai anggota kumpulan pemisah menyerang sebuah balai polis di Daerah Saiburi di sini, kelmarin.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, Sarjan Mejar Nattawut Surarat, 29, meninggal dunia di Hospital Saiburi di sini akibat kecederaan parah terkena tembakan.
Katanya, siasatan mendapati, sekumpulan lelaki bersenjata perang bersembunyi di dalam hutan bersebelahan pagar Balai Polis Saiburi yang baharu di Mukim Tabing, sebelum melepaskan tembakan.
“Serangan mengejut itu menyebabkan keadaan huru-hara di dalam balai polis berkenaan. Nattawut yang ketika itu sedang bertugas terkena tembakan di pipi dan bahu kiri sebelum rebah.
“Anggota polis yang bertugas kemudian membalas tembakan itu sebelum kumpulan penyerang melarikan diri. Nattawut yang cedera parah dibawa ke Hospital Saiburi untuk rawatan segera,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sumber berkata, susulan itu pihak berkuasa bertindak mengepung kawasan sekitar balai polis berkenaan.
“Pihak berkuasa juga membuka pusat pemeriksaan sementara di sepanjang jalan yang disyaki menjadi laluan penyerang melarikan diri serta menggunakan dron untuk pengawasan udara,” katanya. – UTUSAN










