Apabila rasa tidak selesa selepas makan berat, pedih di bahagian ulu hati atau loya, ramai kurang memandang serius mengenainya kerana menganggap ia sekadar sakit perut biasa, angin atau gastrik.
Gejala mungkin berkurang selepas beberapa hari mengambil ubat. Namun, apabila kesakitan itu kembali, lebih kuat dan kerap, persoalan sebenar mula timbul. Bagaimana jika ia bukan sekadar gastrik sejak awal?
Ramai yang keliru antara gejala atau petanda sakit perut seperti gastrik dengan keradangan pundi hempedu (kolesistitis). Keadaan yang membabitkan pundi hempedu atau kolik biliari (masalah saluran hempedu) boleh menghasilkan gejala yang hampir menyerupai gastrik.
Sakit di bahagian atas perut juga boleh berpunca daripada masalah lain seperti masalah jantung (angina), pankreatitis, hepatitis atau penyakit pundi hempedu. Namun, keadaan ini sering disalah anggap sebagai gastrik.
Sesetengah pesakit rasa sakit di kanan atas perut, manakala ada juga rasa sakit di seluruh perut.
Pakar Perunding Pembedahan Am dan Hepatobiliari di Pusat Perubatan Bukit Tinggi Klang (BTMC), Dr. Thamarai Velan berkata, ramai pesakit akan berjumpa doktor am terlebih dahulu dan dirawat sebagai gastritis dan gejala mungkin berkurangan buat sementara waktu dengan ubat.

“Namun, kelegaan ini tidak semestinya bermakna masalah sudah selesai. Tanpa pemeriksaan lanjut, punca sebenar boleh terlepas pandang terutamanya dalam kalangan individu muda yang cenderung mengabaikan rasa tidak selesa yang berulang.
“Salah satu cabaran utama adalah simptom tidak jelas. Walaupun gastritis biasanya menyebabkan rasa pedih di bahagian atas perut, kesakitan berkaitan pundi hempedu cenderung menunjukkan ciri yang berbeza,” katanya.
Katanya lagi, kesakitan yang muncul boleh menjadi semakin kuat dan merebak ke bahagian atas belakang atau disertai loya dan muntah, tidak sepatutnya diabaikan. Keadaan ini bukan ciri tipikal gastritis biasa.
Dalam sesetengah kes, apa yang dirasakan sebagai sakit perut mungkin tidak berkaitan langsung dengan sistem pencernaan. Masalah jantung, penyakit hati atau keradangan pankreas boleh menunjukkan gejala yang sama, menjadikan pengambilan ubat sendiri lebih berisiko.
Apabila Kelewatan Menjadi Berbahaya
Dr. Thamarai Valen berkata, mengabaikan sakit perut yang berterusan bukan sekadar menyebabkan ketidakselesaan yang berpanjangan, malah ia boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius.
“Jika keradangan pundi hempedu tidak dirawat dengan lebih awal, keadaan ini boleh menyebabkan jangkitan lebih teruk di mana hempedu boleh bernanah. Keadaan ini dikenali sebagai empiema pundi hempedu.
“Ia boleh menyebabkan demam tinggi, sakit yang teruk dan dalam kes yang lebih serius, pundi hempedu boleh pecah. Apabila situasi ini berlaku, jangkitan boleh merebak ke seluruh rongga abdomen dan mengancam nyawa pesakit,” katanya.
Selain itu, batu hempedu juga boleh bergerak ke dalam saluran hempedu, menyebabkan jaundis atau pankreatitis iaitu keradangan pankreas yang boleh menjadi serius dan memerlukan prosedur jauh lebih kompleks untuk merawatnya.
Katanya lagi, keradangan teruk boleh menyukarkan pembedahan dan meningkatkan risiko komplikasi, seperti kecederaan pada saluran hempedu.
Tanda-Tanda
Bilakah seseorang patut berhenti membuat andaian dan perlu mendapatkan rawatan sepatutnya? Terdapat beberapa tanda yang tidak patut diabaikan.
Kesakitan berterusan di perut disertai loya atau muntah adalah salah satu tanda. Kesakitan yang berlanjutan selama beberapa jam atau kerap berulang juga tidak sepatutnya diabaikan.
“Salah satu tanda yang lebih membimbangkan adalah jaundis, iaitu keadaan kulit atau mata menjadi kekuningan. Ini menandakan berlakunya kesekatan pada saluran hempedu.
“Jika mengalami sakit perut lebih daripada sekali dan episod kedua terasa lebih teruk berbanding pertama, jangan abaikannya. Ramai memilih mengambil ubat gastrik tanpa nasihat doktor kerana simptom kelihatan biasa dan menganggap ia mampu menyelesaikan masalah. Kadangkala, ia seperti berkesan,”katanya.
Tambahnya, kelegaan itu mungkin sementara. Dalam banyak kes, kelegaan hanyalah jangka pendek dan punca sebenar tidak dirawat, menyebabkan berulang, selalunya tahap lebih teruk.
Kesakitan boleh kembali beberapa hari atau minggu kemudian, selalunya dengan tahap lebih teruk.
Pada ketika itu, keadaan mungkin sudah menjadi lebih serius dan memerlukan rawatan yang intensif. Kitaran ‘baik sekejap, sakit semula’ adalah petanda jelas punca mungkin bukan gastrik.
Sekiranya simptom berulang, pesakit tidak seharusnya bergantung kepada pengambilan ubat semata-mata. Sebaliknya berjumpa dengan pakar seperti pakar hepatobiliari bagi membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh dan diagnosis yang lebih tepat.
“Apabila pesakit dirujuk kepada pakar, langkah seterusnya adalah untuk mengenal pasti punca kesakitan. Proses ini membabitkan gabungan ujian darah dan pengimejan seperti ultrasound atau imbasan tomografi berkomputer
(CT). Dalam sesetengah kes, pengimejan resonans magnetik (MRI) diperlukan.
“Ujian-ujian ini membantu mengesahkan diagnosis dan menentukan rawatan paling sesuai. Bagi kebanyakan masalah pundi hempedu, rawatan membabitkan pembedahan laparoskopi yang dikenali sebagai pembedahan lubang kunci. Kaedah ini menggunakan hirisan kecil, membolehkan pemulihan lebih cepat, kurang kesakitan, dan parut minimum,” katanya.
Pesakit dengan kes yang tidak rumit biasanya boleh pulang dalam satu atau dua hari. Namun, jika diagnosis lewat dan komplikasi sudah berlaku, pembedahan terbuka mungkin diperlukan. Tempoh pemulihan akan lebih lama.
Gaya Hidup Harian
Walaupun tidak semua masalah perut boleh dicegah, gaya hidup memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko.
“Senaman berkala, pemakanan seimbang dan pengambilan air mencukupi, boleh membantu mengurangkan risiko.Mengekalkan berat badan yang sihat juga penting kerana obesiti adalah faktor risiko bagi batu hempedu dan penyakit hati berlemak,” katanya.
Di negara ini, istilah ‘gastrik’ sering digunakan untuk menggambarkan pelbagai masalah ketidakselesaan perut. Namun, bahaya sebenar terletak pada andaian itu. Tidak semua sakit perut adalah ringan dan tidak semua simptom akan hilang sendiri. Jika sakit berulang lebih daripada sekali, sangat penting untuk mendapatkan pemeriksaan awal.
Kadangkala, apa yang kelihatan kecil adalah tanda awal kepada masalah serius. Pengesanan awal boleh menjadikan perbezaan antara rawatan yang mudah dan kecemasan mengancam nyawa. –UTUSAN









