PETALING JAYA: Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV secara rasmi dilantik sebagai penyiar kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 di negara ini.
Jurucakap Kerajan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Unifi TV akan menyediakan liputan siaran langsung bagi kesemua 104 perlawanan manakala RTM pula akan menawarkan akses percuma kepada sebahagian besar perlawanan menerusi saluran televisyennya serta aplikasi RTMKlik.
Katanya, kerjasama strategik antara kedua-dua penyiar itu bertujuan memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati siaran berkualiti tinggi secara inklusif merentasi pelbagai platform digital dan mudah alih.
“Pendekatan ini membolehkan akses lebih meluas kepada semua lapisan masyarakat untuk mengikuti kejohanan bola sepak paling berprestij dunia,” katanya pada sidang akhbar hari ini. – UTUSAN










