PETALING JAYA: Indonesia kini menjadi antara destinasi percutian pilihan rakyat Malaysia selain Thailand, susulan pengukuhan nilai ringgit berbanding rupiah.
Semakan Utusan Malaysia mendapati, penukaran sebanyak RM1,000 membolehkan rakyat Malaysia memperoleh kira-kira 4.4 juta hingga 4.5 juta rupiah, antara yang paling rendah sejak 10 tahun kebelakangan ini.
Jumlah berkenaan mampu menampung perbelanjaan asas seorang pelancong kategori bajet selama sekurang-kurangnya lima hari di beberapa destinasi seperti Yogyakarta, Bandung atau Surabaya, tidak termasuk tiket penerbangan.
Tinjauan di beberapa platform tempahan penerbangan pula mendapati, tambang sehala dari Kuala Lumpur ke beberapa destinasi utama Indonesia bermula sekitar RM250 ke Jakarta dan RM280 ke Bali bagi tarikh tertentu.
Bagaimanapun, harga tiket boleh meningkat kepada RM700 hingga RM1,000 bergantung kepada musim, permintaan, bagasi dan promosi syarikat penerbangan.
Menurut Pengurus Glory Travel and Tours Sdn. Bhd., Muhammad Ikmal Aiman Abdul Rahim, semakin ramai rakyat Malaysia menunjukkan minat untuk melancong ke Indonesia, susulan kadar pertukaran mata wang yang dilihat lebih menguntungkan mereka.
Katanya, faktor pengukuhan ringgit memberi persepsi nilai atau value for money lebih tinggi kepada pelancong Malaysia dan mendorong mereka mempertimbangkan Indonesia sebagai destinasi percutian.
Beliau berkata, antara destinasi yang mendapat permintaan tinggi ketika ini ialah Bali, Bromo dan Yogyakarta.
“Selain tarikan alam semula jadi dan pengalaman budaya, faktor kos perbelanjaan yang lebih rendah seperti penginapan, makanan, aktiviti dan membeli-belah sememangnya menjadi antara sebab utama rakyat Malaysia memilih Indonesia.
“Pelancong kini lebih cenderung mencari destinasi yang menawarkan pengalaman berkualiti dengan kos yang lebih berbaloi,” katanya.
Mengulas mengenai kos penerbangan, Ikmal berkata, harga tiket ke Indonesia bergantung kepada musim, permintaan dan polisi syarikat penerbangan.
Bagaimanapun, katanya, kesan pengukuhan ringgit lebih jelas dirasai melalui perbelanjaan di destinasi seperti makanan, pengangkutan, aktiviti dan membeli-belah yang kini dilihat lebih murah berbanding sebelum ini.
“Ini memberi penjimatan keseluruhan yang lebih ketara sepanjang tempoh percutian,” katanya.
Beliau berkata, terdapat sebahagian pelanggan yang merancang perjalanan, termasuk membuat tempahan awal bagi mendapatkan harga terbaik.
“Ada juga yang mengambil peluang menukar mata wang lebih awal apabila melihat kadar pertukaran yang lebih menguntungkan.
“Namun, kebanyakan pengguna masih membuat keputusan berdasarkan bajet perjalanan, tempoh cuti dan promosi semasa, bukan semata-mata disebabkan nilai rupiah yang lebih rendah,” katanya.
Menurut beliau, minat rakyat Malaysia terhadap Indonesia bukanlah trend baharu kerana destinasi tersebut sememangnya telah lama menjadi pilihan.
“Walau bagaimanapun, pengukuhan ringgit dan nilai rupiah yang lebih rendah dijangka mempercepatkan lagi permintaan dalam jangka masa pendek.
“Sekiranya faktor kos kekal kompetitif dan akses penerbangan terus baik, Indonesia berpotensi terus menjadi antara destinasi pilihan utama rakyat Malaysia dalam tempoh yang lebih panjang,” katanya. – UTUSAN









