KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memohon kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menggantikan kira-kira 1,035 kilometer paip air lama di negeri ini menerusi pelan perniagaan baharu bagi tempoh 2027 hingga 2031 dengan kos mencecah RM1 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjar Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Hussin berkata, ketika ini terdapat kira-kira 4,000 kilometer paip uzur di seluruh Kelantan yang perlu ditukar secara berperingkat.
Katanya, ketika ini SPAN hanya meluluskan penggantian sekitar 150 kilometer setahun dan kadar itu dilihat tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu paip lama dalam tempoh singkat.
“Jika ikut kadar semasa, proses penggantian mengambil masa bertahun-tahun. Sebab itu kerajaan negeri berharap kadar kelulusan dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada 200 kilometer setahun.
“Bagi pelan perniagaan 2027 hingga 2031, kita memohon untuk menggantikan lebih 1,000 kilometer paip bagi mempercepat usaha penambahbaikan bekalan air di Kelantan,” katanya semasa Lawatan Kerja ke Tapak Projek Loji Rawatan Air (LRA) Kelar di sini hari ini.
Izani berkata, projek penggantian paip itu bermula sejak 2016 dan menunjukkan perkembangan lebih positif selepas tempoh pandemik Covid-19.
Katanya, kos penggantian paip dianggarkan sekitar RM1 juta bagi setiap kilometer dan pembiayaan projek berkenaan dibuat menerusi pinjaman SPAN yang perlu dibayar balik oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memohon supaya tempoh lesen operasi air dipanjangkan daripada tiga tahun kepada lima tahun bagi memudahkan pelaksanaan projek jangka panjang itu. – UTUSAN










