Revolusi mikrob selamatkan sawah padi Thailand

Revolusi mikrob selamatkan sawah padi Thailand

DRON pertanian menyembur larutan mikrob Soil Digest ke atas sisa jerami tanaman di sawah padi di wilayah Pathum Thani. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA petani, Siriporn dan Amnat Taidee sebelum ini membakar sawah mereka di antara musim penanaman, kaedah lazim membersihkan sisa tanaman yang sering kali mencetus jerebu toksik di sebahagian besar Thailand.

Kaedah itu cepat dan murah untuk menyediakan kitaran penanaman baharu dan sejak sekian lama dianggap satu-satunya pilihan praktikal bagi jutaan pesawah di negara itu.

Namun kini, pasangan dari Chiang Rai itu sudah meninggalkan cara lama dan beralih kepada penyelesaian mikrob yang membawa manfaat lebih besar.

Dengan bantuan bakteria yang memakan sisa tanaman selepas tuaian, tanah mereka kini menjadi lebih subur, hasil meningkat malah kos baja juga semakin berkurangan.

“Kehidupan saya berubah. Saya sangat gembira. Kami kini tidak perlu membakar lagi,” kata Siriporn, 63, ketika berjalan di sawah menghijau di Chiang Rai.

Setiap tahun antara Januari hingga April, asap daripada sisa tanaman, kebakaran hutan dan pelepasan industri ditambah jerebu dari negara jiran menolak kualiti udara Thailand ke tahap berbahaya.

Permintaan terhadap formulasi baharu untuk menguraikan jerami meningkat mendadak sejak kerajaan menguatkuasakan tindakan tegas terhadap pembakaran terbuka beberapa tahun lalu.

Keluarga Taidee merupakan antara yang terawal beralih kepada produk dikenali sebagai Soil Digest yang dibangunkan saintis Thailand menggunakan lima strain bakteria Bacillus, salah satunya berasal daripada kacang soya yang ditapai secara tradisional.

Siriporn berkata, larutan itu menguraikan sisa jerami yang teruk dalam masa beberapa hari dan membantu memulihkan tanah.

“Padi tumbuh dengan baik dan tanah semakin subur. Teknologi mikrob ini benar-benar mengubah keadaan,” jelasnya.

Setakat ini, kira-kira 2,000 daripada 100,000 pesawah di Chiang Rai, antara wilayah utama penanaman padi Thailand mula beralih kepada teknologi mikrob itu.

Di Pathum Thani, wilayah penanaman padi di tengah Thailand, petani Samart Atthong membelanjakan 1,200 baht (RM145) untuk mengupah dron pertanian menyembur Soil Digest di sawahnya.

“Orang mungkin hanya nampak kos tambahan awal daripada penggunaan mikrob, tetapi mereka perlu melihat dalam jangka panjang. Apabila tanah pulih, kita tidak perlu lagi membeli banyak baja. Di tempat saya, pembakaran hampir sifar,” katanya.

Melangkah dalam udara dipenuhi debu yis, Saintis Thailand, Wichien Yongmanitchai memantau rapi mesin menghasilkan campuran mikrob ciptaannya.

Beliau memulakan dengan mengasingkan strain bakteria tempatan, yakin bakteria asli lebih sesuai dengan persekitaran tropika Thailand. Beliau juga berharap ciptaannya itu dapat menye­lesaikan krisis jerebu tahunan Thailand.

Tanpa rawatan mikrob, jerami padi mengambil masa sekitar 30 hari untuk cukup lembut bagi dibajak tetapi larutannya hanya mengambil lima hingga tujuh hari. Ujian awal menunjukkan peningkatan hasil sehingga 20 peratus.
Wichien juga berkata, bakteria itu mampu mengurangkan pelepasan metana dari sawah sekurang-kurangnya 20 peratus, membantu Thailand memenuhi komitmen iklimnya.

“Ini antara manfaat terbesar untuk mencapai neutral karbon di sawah padi,” katanya.

Namun beliau sedar operasi kecilnya tidak mampu mencapai 20 juta petani di Thailand sendirian. Tanpa sokongan kerajaan dan korporat, jurang itu mungkin sukar diatasi.

Pakar bebas bersetuju teknologi ini berpotensi tetapi memberi amaran sistem sokongan perlu berubah.

Sebagai permulaan, beliau mencadangkan subsidi bersyarat yang dikaitkan dengan komitmen tidak membakar yang digabungkan bersama akses mesin dan pendidikan kepada petani.

Wichien kini melihat produknya melangkau ke sawah di seluruh Asia Tenggara dan akhirnya Afrika.

“Saya tidak mahu apa-apa lagi. Saya hanya mahu memastikan ia berjaya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN