Remaja maut kepala putus, van ditembusi tiang JKR nahas di Losong

Remaja maut kepala putus, van ditembusi tiang JKR nahas di Losong

KEADAAAN kereta jenis Volkswagen Golf GTI dan van Nissan Vanette yang terlibat kemalangan mengorbankan nyawa seorang remaja di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu, Terengganu.- IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki maut dalam keadaan tragis apabila kepalanya dipercayai putus selepas van dinaikinya ditembusi tiang Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kemalangan di Jalan Losong Feri di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, mangsa, Wah Han Keong, 18, yang merupakan penumpang hadapan sebuah van Nissan Vanette disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI dan van Nissan Vanette.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuala Terengganu menghala ke Muzium Losong sebelum dipercayai hilang kawalan.

“Kenderaan tersebut kemudian terbabas lalu melanggar tiang JKR di pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh van dinaiki mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari arah Taman Manir menuju ke bandar Kuala Terengganu,” katanya di sini.

Azli berkata, pelanggaran itu mengakibatkan tiang JKR terbabit tumbang dan tertembus ke dalam van sehingga terkena mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

“Pemandu kereta bersama tiga lagi penumpang termasuk seorang bayi berusia setahun tidak mengalami kecederaan, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun  mengalami luka ringan di kaki. Pemandu van berusia 49 tahun turut mengalami kecederaan ringan pada tangan,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN