Raja sertai rakyat rai Aidiladha

Raja sertai rakyat rai Aidiladha

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menunaikan solat sunat Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun negara berdepan masalah ekonomi ia tidak menghalang umat Islam melakukan ibadah korban.

Sambutan Aidil­­adha di seluruh negara diserikan keberangkatan Sultan dan Raja-Raja Melayu yang menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan jemaah di masjid utama negeri, mencerminkan perpaduan umat Islam yang kukuh dan harmoni.

Di Shah Alam, Sultan Sela­ngor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 15,000 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam. Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Solat sunat diimamkan Datuk Muhammad Farhan Wijaya, sebelum mendengar khutbah ‘Aiduladha: Iman dan Pengorbanan’ disampaikan Mufti Selangor Datuk Dr. Anhar Opir yang menekankan erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Sebanyak 28 ekor lembu ter­­masuk sumbangan Sultan Sha­ra­fuddin dikorbankan di pekarangan masjid.

Di Ipoh, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh bersama lebih 1,000 jemaah, semalam.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh semalam.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 8.30 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini. Imam Besar, Abd Farid

Salleh mengimamkan solat dan menyampaikan khutbah bertajuk ‘Ibadah Korban: Lambang Penyucian Jiwa’.

Di Alor Setar, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir, Alor Setar, semalam. Baginda tiba pada pukul 8.20 pagi disambut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk No­rizan Khazali.

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah beramah mesra bersama jemaah menyertai solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir, Alor Setar.

Turut berangkat Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin. Lebih 2,000 jemaah hadir menunaikan solat bermula pukul 8.30 pagi, diimamkan Imam Besar Masjid Zahir, Sheikh Mohd Naim Ahmad.

Di Kuantan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidil­adha di Masjid Tengku Ampuan Afzan hari ini, bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri Che Panglima Puteri Suraiya Afzan Mohammed Moizz.

AL-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan ibadah korban di pekarangan Masjid Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Baginda tiba pada 8.30 pagi, disambut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Solat dipimpin Imam Tengku Ampuan Afzan Hafidz Suhaile, disusuli khutbah ‘Kehidupan Adalah Pengorbanan’ oleh Mufti Pahang Asmadi Mohamed Naim.

Baginda turut menyaksikan ibadah korban dan berkenaan mengurniakan 31 lembu agihan seluruh negeri Pahang ini.

Di Arau, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,200 jemaah di Dataran Istiadat Istana Arau, semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, anakanda baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Solat dipimpin imam besar negeri, Amnan Muthqa Azanol manakala khutbah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor bertajuk ‘Pengorbanan Memajukan Umat Islam’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN