Rafizi nafi Nurul Izzah sertai Bersama

Rafizi nafi Nurul Izzah sertai Bersama

PKR
MOHD. Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai desas-desus tidak berasas.

“Itu (dakwaan Nurul Izzah sertai Bersama) khabar angin kosong sahaja. Dia (Nurul Izzah) tidak akan sertai Bersama,” katanya ringkas menerusi ciapan di laman X.

Beliau berkata demikian mengulas desas-desus Nurul Izzah bakal menyertai Bersama susulan tugas Pengarah Pilihan Raya PKR yang digalas bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kini diambil alih Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, seorang pemilik akaun X, dipercayai ahli Bersama menggesa Rafizi supaya tidak menerima permohonan Nurul Izzah untuk menyertai parti itu.

Kelmarin, media melaporkan, Amirudin dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggantikan Nurul Izzah dengan perkara itu diputuskan mesyuarat Biro Politik PKR, Isnin lalu.

Rombakan itu sebahagian daripada penyelarasan strategik PKR bagi melancarkan dan memperkukuh koordinasi proses kerja dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Dalam fasa seterusnya, Nurul Izzah akan terus memainkan peranan strategik dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan keupayaan jentera pilihan raya PKR serta aliran kerja.

Selain itu, Rafizi turut menegaskan, semua ahli Bersama berpeluang untuk menjadi calon, namun akan ada jawatankuasa calon yang akan melakukan tapisan dan penilaian satu persatu.

“Permohonan menjadi calon akan dibuka dalam masa terdekat. Kena lalui sedikit proses memperkenalkan diri, bercakap depan skrin. Semua ada peluang yang sama. Tidak perlu kenal saya atau Nik untuk berpeluang jadi calon,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN