KUALA TERENGGANU: Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden yang mengorbankan tiga pekerja luar pesisir di sebuah pelantar minyak di perairan Terengganu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, buat sementara waktu, kes disiasat di bawah laporan mati mengejut.
“Bagaimanapun, satu pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah dihantar ke pelantar minyak berkenaan bagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti kejadian sebenar,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur jenayah atau kecuaian, kes itu diklasifikasikan semula dan diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah.
“Ketika ini proses bedah siasat sedang dijalankan dan polis masih menunggu laporan penuh berhubung punca kematian mangsa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tersebut, khususnya dalam media sosial.
Katanya, terdapat pelbagai spekulasi dan dakwaan yang tular mengenai insiden di pelantar minyak itu.
Menurut beliau, dalam kejadian tengah hari semalam, polis menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku di fasiliti penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSO) Sepat, kira-kira 150 kilometer dari perairan Kuala Terengganu.
Insiden itu menyebabkan tiga pekerja syarikat perkapalan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pada ketinggian empat meter. – UTUSAN










