KUALA LUMPUR : Lima kenderaan rosak dihempap pokok tumbang dalam beberapa kejadian berasingan di sekitar ibu kota semalam susulan hujan lebat dan angin kuat.
Beberapa panggilan kecemasan berkaitan insiden pokok tumbang melalui talian NG999 pada pukul 2.50 petang.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi kenyataan memaklumkan, susulan panggilan diterima, jentera bomba digerakkan ke tiga lokasi kejadian membabitkan Lebuhraya MEX menghala ke Lebuhraya NPE (E37), Pangsapuri Seri Malaysia di Jalan 3/141 Kampung Malaysia Tambahan dan Institut Sosial Malaysia di Sungai Besi.
“Lokasi di Lebuhraya MEX menghala ke Lebuhraya NPE, pokok tumbang dilaporkan menghalang laluan jalan namun tidak melibatkan sebarang kenderaan atau mangsa.
“Manakala di Pangsapuri Seri Malaysia pula, sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta jenis Proton Persona yang diparkir di bahu jalan dan tiada mangsa terlibat,” katanya di sini semalam.
Jelas kenyataan sama, kejadian di Institut Sosial Malaysia membabitkan sebatang pokok besar tumbang sehingga dahan pokok menghempap bumbung tempat parkir kenderaan.
Katanya, empat kenderaan terlibat dalam kejadian itu iaitu Perodua Alza, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Proton Waja.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dimaklumkan bagi membantu kerja pembersihan dahan pokok yang dipotong anggota bomba,” katanya.
Katanya, semua laluan jalan yang terhalang akibat kejadian itu telah dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya. – UTUSAN










