KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pelantikan Datuk Rizal Rickman Ramli sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2026.
Pelantikan tersebut bagi menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad yang akan bersara selepas tamat kontrak perkhidmatannya selama dua tahun bersama pengurus dana terbesar negara itu.
PNB berkata, Rizal Rickman yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, akan bertindak sebagai Pemangku PGCE terlebih dahulu bermula 1 Jun ini sebelum memulakan tugas secara rasmi.
“Pelantikan ini mencerminkan kejayaan pelaksanaan perancangan penggantian dalaman yang berkesan di PNB. Beliau membawa pengalaman luas selama lapan tahun di PNB, termasuk mengetuai bahagian hartanah, pasaran persendirian serta pelaburan strategik.
“Kepimpinan beliau amat penting bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan ketika PNB terus melangkah kukuh merealisasikan Pelan Strategik LEAP-6 serta merangka pertumbuhan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum menyertai PNB pada tahun 2018, Rizal Rickman merupakan Pengurus Rakan Kongsi Negara bagi firma perundingan global, Boston Consulting Group di Malaysia.
Sementara itu, Abdul Rahman yang akan menamatkan perkhidmatannya secara rasmi pada 31 Mei ini, merupakan tokoh korporat berwibawa yang telah berkhidmat lebih 25 tahun menerajui syarikat-syarikat besar seperti Kumpulan CIMB, Ekuinas, Media Prima dan MRCB.
Abdul Rahman dilantik semula sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Bhd. (Sime Darby) berkuat kuasa serta-merta.
Sime Darby berkata, pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang telah bersara pada 31 Disember tahun lalu atas faktor peribadi.
Lembaga Pengarah PNB turut merakamkan penghargaan atas sumbangan bernilai Abdul Rahman sepanjang dua tempoh perkhidmatannya yang telah memperkukuh fokus strategik dan budaya kecemerlangan organisasi.
Langkah peralihan kepimpinan ini dilihat selari dengan matlamat PNB untuk terus memperkasa kehidupan kewangan rakyat Malaysia merentas generasi melalui pengurusan portfolio dan pelaburan yang mampan. –UTUSAN










