PN umum empat timbalan pengerusi bantu Radzi di Melaka - Utusan Malaysia

PN umum empat timbalan pengerusi bantu Radzi di Melaka

RADZI Jidin mempengerusikan mesyuarat di Dataran Baitul Tariq, Klebang, Melaka semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pelantikan empat timbalan pengerusi di Melaka bagi memperkukuh kepemimpinan gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan-timbalan Pengerusi PN Melaka ialah Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail; Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Melaka, Datuk Seri Gan Peng Lam; Pengerusi Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Melaka, Datuk Dr. T. Arasu serta Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri yang berlangsung semalam.

“Mesyuarat turut memberi fokus kepada persediaan menghadapi PRN Melaka dan PRU16 termasuk memperkemas gerak kerja parti supaya lebih tersusun dan efektif.

“Kita mahu memastikan seluruh jentera PN Melaka sentiasa berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran politik semasa,” katanya dalam kenyataan.

Radzi berkata, pelantikan itu juga bertujuan memperkukuh kerjasama antara semua parti komponen dalam gabungan.

Katanya, PN Melaka mahu bergerak sebagai satu pasukan lebih mantap, selain memastikan setiap parti memainkan peranan secara menyeluruh di peringkat akar umbi.

“Selain memperkukuh penyelarasan antara parti-parti komponen, mesyuarat turut meneliti usaha memperkemas jentera di semua peringkat bagi memastikan PN Melaka terus relevan dan diyakini rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN