PN ucap tahniah pada Thalapathy Vijay - Utusan Malaysia

PN ucap tahniah pada Thalapathy Vijay

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) merakamkan ucapan tahniah kepada bintang filem India, C. Joseph Vijay dan parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Tamil Nadu lalu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kemenangan TVK yang dipimpin Vijay mencerminkan keyakinan rakyat terhadap visinya yang menekankan reformasi, keadilan, keharmonian sosial, pemerkasaan belia dan pemodenan.

Selain itu, kata beliau, usaha penolakan terhadap politik yang memecah belahkan dan bersifat diskriminasi yang dibawa TVK turut membolehkan parti itu menang.

“Sebagai bekas pelakon yang lebih dikenali sebagai Thalapathy Vijay, beliau amat dikagumi di Malaysia khususnya dalam kalangan belia India atas pencapaian seni, imej kemanusiaan serta kepimpinan awam beliau.

“Kebangkitan politik beliau turut diikuti dengan penuh minat dan keterujaan oleh ramai pihak, terutamanya memandangkan hubungan sejarah, budaya dan bahasa yang telah lama terjalin antara Tamil Nadu dan rakyat Malaysia berketurunan India.

“PN mendoakan agar beliau terus berjaya memimpin Tamil Nadu ke arah kemajuan, kestabilan dan kemakmuran yang lebih besar,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Semalam, media melaporkan, Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas parti TVK berjaya memperoleh sokongan majoriti.

TVK muncul sebagai parti terbesar dengan 108 kerusi, namun masih gagal mencapai majoriti mudah 118 kerusi. Selepas Vijay mengosongkan satu daripada dua kerusi yang dimenanginya, kekuatan parti itu berkurangan kepada 107 kerusi.

Beberapa hari berikutnya menyaksikan rundingan intensif diadakan dengan parti-parti kecil bagi mendapatkan sokongan tambahan.

Indian National Congress (Congress) menjadi parti pertama menyatakan sokongan menerusi lima Ahli Dewan Undangan Negeri (MLA) dimilikinya.

Perkembangan paling penting berlaku apabila Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK), Communist Party of India (CPI), Communist Party of India-Marxist (CPM) dan Indian Union Muslim League (IUML) masing-masing mengumumkan sokongan dengan dua MLA setiap parti.

Sokongan itu menjadikan jumlah keseluruhan kerusi disokong meningkat kepada 120, melepasi ambang majoriti 118 kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN