KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) bertekad untuk memimpin naratif penyatuan Melayu-Islam dan perpaduan antara kaum di Malaysia sebagai prasyarat kepada kestabilan nasional.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, azam itu sebagai prasyarat kepada kestabilan nasional yang akan menjamin kesejahteraan setiap rakyat tanpa mengira warna kulit dalam negara Malaysia yang tercinta ini.
“Marilah kita mengurus kepelbagaian ini dengan penuh hikmah. Kita raikan keunikan masyarakat majmuk ini bukan sebagai liabiliti, tetapi sebagai suatu aset kekuatan.
“Kita berazam untuk memimpin naratif penyatuan Melayu-Islam dan perpaduan antara kaum di Malaysia sebagai prasyarat kepada kestabilan nasional yang akan menjamin kesejahteraan setiap rakyat tanpa mengira warna kulit dalam negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya melalui Facebook hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang turut menzahirkan harapan agar sebuah gerakan penyatuan rakyat dapat dibentuk sebagai usaha mengembalikan semula keharmonian negara serta memadamkan sentimen prejudis dalam kalangan masyarakat.
“Biarlah dari bumi Terengganu ini bermulanya sebuah gerakan yang menyatukan hati, memadamkan api prejudis dan membina semula sebuah negara-bangsa yang rukun, damai, dan disegani di mata dunia,” katanya. – UTUSAN










