PUTRAJAYA: Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) bersama Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menjayakan Majlis Korban Media 2.0.
Ia merupakan penganjuran kali kedua selepas pertama kali diadakan sempena Aidiladha pada tahun lalu.
GKMM dalam kenyataan berkata, pada tahun ini, ibadah korban dilaksanakan di enam lagi negeri iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan serta Pahang.
Program korban kali ini melibatkan kerjasama erat pengamal media daripada Kelab Media Johor (KMJ); Kelab Media Putrajaya (KMP) dan Kelab Wartawan Kuala Lumpur & Selangor (KLS); Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS); Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA); Kelab Media Elit Kedah (KMEK) serta Pahang Press.
“Acara ini diadakan dengan tujuan mengimarahkan sambutan Aidiladha khususnya dalam kalangan pengamal-pengamal media di negeri-negeri dengan komuniti setempat.
“GKMM mengucapkan terima kasih khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri di atas sumbangan serta inisiatif kolaborasi bagi tujuan menjayakan program korban pada tahun ini,” katanya.
Kata GKMM, selain menjadi acara tradisi yang diraikan umat Islam setiap tahun dengan tujuan mengeratkan silaturahim antara komuniti setempat, ibadah korban ini juga mendidik diri untuk sentiasa menyumbang khususnya kepada golongan memerlukan.
“Semoga program ini memberi pengalaman berguna kepada semua pengamal media yang terlibat serta membantu masyarakat memerlukan, sekaligus memenuhi prinsip teras Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan,” katanya. – UTUSAN









