TANJUNG MALIM: PKR Tanjung Malim tetap kukuh walaupun beberapa ahli termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tanjung Malim, Muhammad Haziq Azfar Ishak mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco AMK Pusat dan parti pada Rabu lalu.
Ketua Penerangan PKR Tanjung Malim, Baharul Kalam Zainun berkata, sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan hak setiap anggota untuk membuat pilihan dan keputusan politik masing-masing.
“Kami menghormati keputusan tersebut dengan hati terbuka serta mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka.
“Walau bagaimanapun, Keadilan Tanjung Malim tetap utuh, stabil dan terus mara bersama anggota serta pimpinan yang kekal setia kepada perjuangan rakyat dan agenda reformasi,” katanya di sini hari ini.
Katanya, perjuangan reformasi tidak akan terhenti, semangat perjuangan untuk membela rakyat dan membawa perubahan yang lebih baik akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa.
Tambah beliau,. semangat anggota parti kekal tinggi dan giat bekerja keras menuju ke arah kesiapsagaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim merupakan Naib Presiden PKR. – UTUSAN










