PKR Sabah masih kekal teguh perjuang aspirasi rakyat, semangat reformasi di Sabah

PKR Sabah masih kekal teguh perjuang aspirasi rakyat, semangat reformasi di Sabah

SULAIMAN SABRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUARAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tuaran masih wujud, walaupun empat daripada 15 pemimpin tertingginya bertindak meninggalkan parti itu, baru-baru ini.

Ketua PKR Cabang Tuaran, Sulaiman Sabri berkata, tindakan sebahagian kecil ahli PKR meninggalkan parti itu dilaporkan mengikut tindakan bekas Ketua Cabang, Mohamad Razeef Rakimin.

“Hanya empat daripada 15 jawatankuasa Cabang PKR Tuaran dilaporkan mengikut tindakan Mohamad Razeef Rakimin yang keluar parti, baru-baru ini.

“Majoriti kepemimpinan cabang serta akar umbi kekal setia bersama PKR dan terus komited memperkukuhkan perjuangan parti di Tuaran,” katanya hari ini.

Beliau berkata, tindakan segelintir ahli PKR meninggalkan parti itu tidak menjejaskan kewujudan dan usahanya menerusi semangat reformasi serta perjuangan.

Sehubungan itu, katanya, satu mesyuarat khas PKR Cabang Tuaran dikendalikan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Razak Jamil diadakan bagi membincangkan penyusunan semula jawatankuasa cabang.

Beliau berkata, mesyuarat itu bakal dihadiri pimpinan cabang, jawatankuasa dan ahli PKR Tuaran yang menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan parti di peringkat cabang.

“Hasil mesyuarat itu, pimpinan dan ahli hadir sebulat suara memutuskan Sulaiman diberikan tanggungjawab sebagai ketua cabang PKR Tuaran baharu,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman menyifatkan pelantikan itu dilihat langkah penting dalam memastikan kesinambungan kepemimpinan dan memperkukuhkan gerak kerja parti menghadapi cabaran politik semasa.

Katanya, PKR Tuaran turut menegaskan parti itu kekal stabil, kukuh dan terus mendapat sokongan majoriti kepemimpinan serta akar umbi di kawasan itu.

“PKR masih kuat dan terus bergerak memperjuangkan aspirasi rakyat serta semangat reformasi di Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN