KOTA KINABALU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua cabang PKR Sabah selepas Hari Raya Aidilfitri susulan pergolakan kepemimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang berlaku sekarang.
Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari berkata, presiden parti akan mengadakan konsultasi dengan semua ketua-ketua cabang di Sabah selepas Aidilfitri untuk mencari formula terbaik mengatasi pergolakan yang berlaku.
Pergolakan kepemimpinan MPN Sabah tercetus apabila didakwa 15 ketua cabang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) kerana hilang kepercayaan terhadap Datuk Sangkar Rasam selaku Pengerusi MPN Sabah.
Isu MPN Sabah telah pun dibawa dalam mesyuarat Biro Politik Pusat (Biropol) pada 24 Mac lalu dan belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai kedudukan Sangkar, maka jawatan yang dipegang selaku Pengerusi MPN Negeri Sabah masih kekal.
Husaini berkata, dari segi Perlembagaan, pelantikan Pengerusi MPN Negeri adalah kuasa prerogatif presiden parti setelah berbincang dengan semua ketua-ketua cabang.
“Penolakan ketua-ketua cabang terhadap pelantikan ini sama ada melalui SD atau meja mesyuarat MPN tidak mampu untuk menggugat kesahihan Pengerusi MPN yang telah dilantik oleh presiden.
“Dengan kata lain, tanpa tindakan terbaharu daripada presiden parti, kedudukan Sangkar selaku Pengerusi MPN tidak terjejas dengan segala bentuk gerakan,” katanya.
Menurut Awang Husaini, jika benar ada gerakan cuba menggesa Sangkar berundur sebagai Pengerusi MPN, ia menunjukkan satu situasi yang tidak baik kepada PKR Sabah.
Kata beliau, Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada bila-bila masa maka, organisasi MPN perlu diperkasa ke tahap optima kerana ini adalah PRN Sabah yang pertama sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada November 2022.
Kemenangan pada PRN Sabah sama ada PH bertanding sendirian atau menjalin kerjasama dengan parti lain bukan satu-satunya matlamat PH, sebaliknya kemenangan itu adalah kewajipan moral kepada kedudukan kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.
Jelas beliau, apa juga keputusan presiden, ahli-ahli PKR Sabah perlu terbuka dan berjiwa besar untuk bersatu demi kepentingan parti. – UTUSAN










