PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan secara rasmi Sistem Pilihan Raya TERAS sebagai persiapan menghadapi kitaran pilihan raya akan datang dalam suasana politik yang kian mencabar.
Pendekatan proaktif dengan memperkenalkan sistem bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu diambil bagi memperkemas gerak kerja pilihan raya parti.
Sistem diilhamkan dan diterajui Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, sebahagian daripada mandat memperkukuh keupayaan organisasi parti secara menyeluruh merangkumi pengurusan data pengundi, pelaksanaan gerak kerja lapangan serta komunikasi bersasar.
“Sistem itu direka sebagai tulang belakang institusi yang berterusan dan bukan sekadar untuk satu kitaran pilihan raya, sebaliknya mampu bertahan merentasi perubahan individu dan kepimpinan.
“Ia merupakan sumbangan asas kepada masa depan parti dengan memastikan kekuatan organisasi, aset data dan keupayaan strategik kekal utuh serta terus berkembang merentasi generasi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Integrasi teknologi dan AI, membolehkan pendekatan kempen tersusun, responsif dan berasaskan data.
Bagi memastikan pelaksanaannya menyeluruh dalam kempen pilihan raya, TERAS perlu mencapai Objektif Latihan Minimum.
“Fokus pembangunan ketika ini adalah untuk beralih daripada fasa ujian yang masih bergantung kepada pembangun kepada operasi yang lebih intuitif dan kendiri, selain menekankan pelaksanaan di lapangan secara segera dan berterusan.
“Penggunaan sistem secara konsisten dijangka membolehkan jentera barisan hadapan mengendalikannya dengan lebih mudah dan mesra pengguna, sekali gus memaksimumkan impak dalam tempoh singkat tanpa latihan teknikal mendalam,” katanya. – UTUSAN










