IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan sebanyak 170 ekor lembu korban untuk Parlimen Tambun sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, sumbangan tersebut diberikan kepada semua masjid dalam Parlimen Tambun, persatuan penduduk, kawasan rukun tetangga (KRT) dan komuniti penduduk.
“Perdana Menteri sememangnya setiap tahun memberikan sumbangan lembu korban sempena Aidiladha untuk Parlimen Tambun
“Untuk tahun ini Perdana Menteri memberikan sumbangan sebanyak 170 ekor lembu korban untuk Parlimen Tambun,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Korban Perdana Aidiladha dan Kenduri Rakyat Peringkat RPS Ulu Kinta Tahun 2026 di Kampung Makmur sini hari ini.
Mohamad Hairul Amir berkata, Program Korban Perdana Aidiladha hari ini juga melibatkan sumbangan daripada Perdana Menteri sebanyak lapan ekor untuk semua kampung Orang Asli dalam Parlimen Tambun.
Menurutnya, program itu kali ketiga dianjurkan dan mendapat sambutan yang baik daripada komuniti Orang Asli yang terlibat.
“Prgram ini melibatkan penduduk daripada lapan kampung Orang Asli yang secara keseluruhan seramai kira-kira 2,000 orang. Antara kampung terlibat termasuk Kampung Makmur, Kampung Chadak, Kampung Tonggang, Kampung Suluh, Suak Petai dan Kampung Choh.
“Program ini inisiatif Pusat Phidmat Parlimen Tambun dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan komuniti Orang Asli dan kita juga mengadakan kenduri rakyat untuk penduduk di sini,” katanya. – UTUSAN










