PETALING JAYA: Perbuatan menipu dalam pelaksanaan badal haji merupakan kesalahan besar daripada sudut agama.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja menyentuh hak Allah SWT malah turut melibatkan hak sesama manusia.
“Penipuan badal haji adalah dosa besar kerana melibatkan hak Allah SWT dan juga hak manusia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, rakyat Malaysia diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran perkhidmatan badal haji yang meragukan khususnya yang ditawarkan pada harga terlalu rendah berbanding kos sebenar ibadah berkenaan.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir dilaporkan berkata, kos menunaikan haji adalah tinggi, justeru sebarang tawaran tidak munasabah dibimbangi tidak memenuhi rukun serta wajib haji yang ditetapkan.
Beliau berkata, sekiranya perkhidmatan badal haji ditawarkan pada harga terlalu murah, orang ramai perlu berwaspada kerana ia mungkin tidak menepati syarat sah ibadah tersebut.
Katanya, bagi pakej haji domestik di Arab Saudi, kos minimum adalah sekitar RM9,000 hingga RM10,000.
Sementara itu, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) berkata, tawaran perkhidmatan badal haji pada kadar terlalu rendah termasuk serendah RM1,500 hingga RM2,000 adalah tidak munasabah serta mustahil dilaksanakan secara sah mengikut peraturan semasa di Arab Saudi.-UTUSAN










