PETALING JAYA: Sebanyak 5,074 pemeriksaan dilaksanakan terhadap 4,339 premis di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini susulan aduan dan kes pencemaran alam sekitar sehingga April lalu.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), operasi penguatkuasaan tersebut melibatkan pemeriksaan terhadap sektor industri, projek pembangunan, pelepasan kenderaan bermotor, aduan berkaitan alam sekitar serta pemantauan dalam mencegah pembakaran terbuka.
Katanya, pemeriksaan tersebut melibatkan pelbagai sektor industri termasuk kilang minyak kelapa sawit mentah, kilang getah asli mentah, kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual, loji rawatan kumbahan dan lain-lain industri berisiko mencemarkan alam sekitar.
“Dalam aspek kawalan pencemaran udara daripada kenderaan bermotor, sebanyak 1,906 operasi penguatkuasaan telah dijalankan melibatkan pemeriksaan terhadap 137,722 kenderaan di seluruh negara.
“Hasil operasi tersebut, tindakan pengeluaran kompaun dan perintah larangan penggunaan kenderaan dan 764 Arahan Uji Semula telah diambil bagi memastikan kenderaan mematuhi standard pelepasan asap yang ditetapkan.
“Selain itu, JAS turut melaksanakan 811 pemeriksaan ke atas projek pembangunan yang telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
JAS berkata, dalam usaha mengekang kemasukan haram buangan terjadual ke negara ini, sebanyak 51 operasi pemeriksaan telah dilaksanakan di pelabuhan utama negara melibatkan pemeriksaan terhadap 702 kontena yang disyaki membawa buangan terjadual.
“Hasil pemeriksaan mendapati 427 kontena mengandungi buangan terjadual termasuk buangan elektrik dan elektronik (e-waste).
“Susulan itu, sebanyak 73 Notis Arahan telah dikeluarkan bagi mengarahkan kontena tersebut dihantar keluar dari Malaysia, dan setakat ini 53 kontena telah berjaya dipulangkan ke negara asal,” katanya.
Selain itu, JAS turut menjalankan 3,237 siasatan berkaitan pembakaran terbuka di seluruh negara termasuk ke atas 494 titik panas (hotspot) yang dikesan dan disyaki berlaku pembakaran.
Katanya, penggunaan teknologi turut diperkasa menerusi 409 penerbangan dron bagi tujuan pemantauan dan pengawasan pencemaran alam sekitar secara lebih efektif dan strategik selain membantu siasatan serta penguatkuasaan yang dijalankan.
“Sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini juga, sebanyak 6,252 aduan pencemaran alam sekitar diterima dan setiap aduan disiasat mengikut tempoh piagam pelanggan yang ditetapkan.
“Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan, JAS telah mengambil sebanyak 3,149 tindakan penguatkuasaan susulan ke atas pihak yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Tindakan tersebut merangkumi 1,587 Notis Arahan, 1,369 kompaun, 44 tindakan penahanan operasi kelengkapan, dua tindakan gantung lesen, 18 Perintah Larangan dan 129 kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan,” katanya.
Pada masa sama, JAS memaklumkan, sebanyak 148 kesalahan telah selesai pendakwaan di mahkamah dan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM4.59 juta serta hukuman penjara sehari.
“JAS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencemaran alam sekitar atau gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan alam sekitar negara terus dipelihara demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang,” katanya. – UTUSAN










