KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dakwaan cuba membunuh seorang pemilik kedai besi buruk di Jalan Telawi, Bangsar, tiga minggu lalu.
Tertuduh, A. Lekeswaran, 27, didakwa cuba membunuh B. Yoga Sundram, 41, di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Telawi, Bangsar, di sini, pada pukul 3.15 pagi, 22 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta penjara maksimum 20 tahun sekiranya menyebabkan kecederaan.
Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha membantah sebarang jaminan diberikan kepada Lekeswaran atas alasan kesalahan yang dilakukan serius dan membawa hukuman berat.
“Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh juga sangat serius dan membawa hukuman yang sangat berat, yang mana dapat memberikan insentif kepada tertuduh untuk melarikan diri.
“Selain itu, pihak pendakwaan juga bimbang mangsa akan diganggu. Mangsa masih berada di ICU (unit rawatan rapi) dan buat masa sekarang dalam keadaan yang tenat.
“Tertuduh juga akan dituduh di bawah Akta Senjata Api di Mahkamah Klang. Oleh itu, saya mohon tiada sebarang jaminan ditawarkan,” katanya.
Terdahulu, peguam Muhammad Izz Khan Mohd. Nor Khan, yang mewakili Lekeswaran memohon anak guamnya diberikan jaminan dan pada kadar yang rendah selain bersedia menerima sebarang syarat tambahan.
“Menurut Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah, mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan. Oleh itu, tertuduh memohon jaminan patut diberikan dengan jumlah yang dikurangkan.
“Tertuduh juga bersedia untuk apa-apa syarat tambahan jika diperlukan bagi memastikan kehadiran. Keluarga juga telah memberikan jaminan bahawa tertuduh tidak akan sesekali mendekati mangsa dalam kes ini sehinggalah kes ini selesai,” katanya.
Mendengar hujahan kedua-dua pihak itu, Hakim Mazuliana Abdul Rashid kemudian menolak permohonan tertuduh.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 10 Jun ini.
Pada 24 April lalu, media melaporkan, dua lelaki tempatan ditahan kurang 24 jam selepas kejadian tembakan di Jalan Telawi, Bangsar, menyebabkan seorang lelaki cedera.
Pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol bersama peluru serta satu objek menyerupai pistol dipercayai tiruan, manakala kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam lama dan perebutan kawasan, selain tidak menolak penglibatan kumpulan dalam jenayah terancang. – UTUSAN









