Pekerja sambilan pengiklanan mengaku tidak bersalah cubaan bunuh dua wanita di surau - Utusan Malaysia

Pekerja sambilan pengiklanan mengaku tidak bersalah cubaan bunuh dua wanita di surau

Suspek kes tikam dua wanita di sebuah surau Sekolah Rendah Agama Kelana Jaya ketika tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pekerja sambilan pengiklanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh dan mencederakan dua wanita, awal bulan lalu. 

Mengikut pertuduhan, Mohammad Ferdaus Mashud, 46, didakwa cuba membunuh seorang jurujual telefon bimbit,  Nurulain Azhar, 26, dan guru sekolah agama, Shaliza Talib, 52, dengan menggunakan objek tajam sehingga menyebabkan kecederaan dan boleh membawa kepada kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.30 tengah hari, 9 Ogos lalu di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah di sini. 

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, K. S. Rinisha Priyya mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh serta memohon tiga syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh. 

“Terdapat dua pertuduhan yang serius dalam kes ini. Mohon syarat tambahan dikenakan sekiranya dibenarkan mahkamah iaitu pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis dan jaminan dikenakan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan,” kata Rinisha Priyya. 

Bagaimanapun, peguam bela, Kailash Sharma yang mewakili tertuduh memohon satu jaminan yang munasabah atas alasan anak guamnya tiada risiko melarikan diri. 

Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan di samping mengarahkan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

“Tertuduh juga diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” kata hakim itu. 

Mahkamah kemudian menetapkan 23 September ini bagi sebutan semula kes.  

Sebelum ini, media melaporkan suspek berusia 46 tahun itu ditahan di sekitar Kajang, Selasa lalu dan direman selama tujuh hari.

Pada 9 Ogos lalu, seorang jurujual berusia 26 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan perut sementara guru besar berusia 52 tahun mengalami luka pada lengan serta tangan kiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN