Pelajar luar negara dirai ‘raja sehari’

Pelajar luar negara dirai ‘raja sehari’

PELAJAR luar negara Universiti Putra Malaysia (UPM) bersanding di atas pelamin pada program silang budaya anjuran Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE) universiti terbabit di Homestay Desa Murni Sanggang, Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pengalaman diraikan sebagai ‘pengantin’ dalam majlis perkahwinan tradisi Melayu menjadi kenangan manis buat empat pelajar antarabangsa Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi program Jom Masuk Kampung di Homestay Desa Murni di sini, semalam.

Program silang budaya anjuran Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE) UPM dengan kerjasama Homestay Desa Murni itu menampilkan pasangan Avazov Alisher dari Uzbekistan bersama Dou Meng Jie dari China, manakala Muhammad Ruzaini Rajimi dari Brunei digandingkan dengan Wiwin Setyawati dari Indonesia.

Majlis dimulakan dengan perarakan empat pasangan pengantin yang tampil segak dan anggun mengenakan busana tradisional Melayu sambil diiringi paluan kompang yang bergema memeriahkan suasana.

Selesai perarakan, pasangan pengantin diraikan di atas pelamin menerusi adat merenjis sebelum majlis diteruskan dengan acara makan beradat yang melengkapkan lagi tradisi perkahwinan Melayu.

Program itu memberi peluang kepada pelajar luar negara merasai sendiri adat dan budaya masyarakat Melayu yang sebelum ini hanya diketahui menerusi pembacaan dan tontonan.

Alisher berkata, dia pada awalnya menyangka hanya menghadiri majlis perkahwinan sebagai tetamu, namun terkejut apabila dipilih turut menjadi sebahagian daripada upacara tersebut.

“Ini pengalaman pertama dan sangat luar biasa bagi saya. Kami agak malu pada mulanya, tetapi sangat teruja kerana dapat merasai sendiri budaya perkahwinan Melayu,” katanya.

Wiwin pula berkata, dia kagum melihat keunikan adat Melayu terutama perarakan kompang dan persembahan silat yang disifatkannya sangat menarik.

“Sangat cantik apabila pengantin berjalan dengan anggun diiringi kompang, selain persembahan silat yang sangat hebat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Prasiswazah) SBE UPM, Prof. Madya Dr. Haslinda Hashim berkata, program tiga hari itu melibatkan 36 pelajar dari sembilan negara termasuk Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN