TAPAH: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak Ahad lalu berdepan risiko terserempak haiwan buas seperti harimau kumbang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, berdasarkan maklumat pasukan penyelamat yang berada di lokasi telah menemui najis haiwan liar tersebut.
“Yang berbahaya (haiwan liar) pun ada dan kita mengutamakan juga langkah-langkah keselamatan serta menghindari kawasan tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, Tapah hari ini.
Katanya lagi, kawasan sekitar pergunungan tersebut terdapat harimau kumbang namun tiada kelibat gajah dikesan setakat ini.
Berhubung operasi SAR di kawasan Sungai Ayer Busok untuk menjejaki Jaslinda, Sabarodzi berkata, beliau dan pegawai Perhilitan terlibat ke sungai tersebut tetapi didapati tidak dimasuki oleh pasukan penyelamat dan mangsa sendiri.
Jelasnya, pasukan penyelamat meneroka kawasan-kawasan yang belum diterokai untuk sebarang kemungkinan.
Tambah beliau, operasi SAR itu akan diteruskan sehingga ada tempoh tertentu yang ditetapkan pihak berkuasa. – UTUSAN










