PETALING JAYA: Pas perlu membuat persediaan rapi untuk memimpin negara sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persediaan menuju kemenangan tidak hanya bergantung kepada kekuatan jentera sebaliknya perlu diperkukuh dengan tarbiyah, ilmu dan kesatuan saf.
Katanya, para ulama, pimpinan dan ahli parti perlu bersedia menggalas amanah kemenangan dengan memastikan perjuangan terus berada di landasan syariat.
“Para ulama, pimpinan dan ahli Pas perlu membuat persediaan rapi untuk memimpin negara kerana Pas mesti bersedia menggalas amanah kemenangan dalam PRU16, insya-Allah.
“Persediaan menuju kemenangan bukan sekadar bergantung kepada kekuatan jentera tetapi mesti diperkukuhkan dengan tarbiyah, ilmu dan kesatuan saf.
“Ia perlu diteruskan hingga kita benar-benar layak mendapat pertolongan daripada Allah SWT untuk mencapai kemenangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Pas sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang PRU16 termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti itu sekiranya gagal mencapai kata sepakat.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua aspek melibatkan hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu.
Kata beliau, Pas mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru namun mengakui tahap kesabaran parti itu ada batasnya. – UTUSAN










