KAJANG: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan memperuntukkan RM30,000 bagi memasang tangki air baharu dan menaik taraf sistem bekalan air di Pusat Jagaan Al-Fikrah di sini.
Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim berkata, penggunaan air bersih di lokasi itu tinggi berikutan jumlah penghuni yang ramai menyebabkan tangki sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan harian.
Beliau berkata, PAAB bersetuju untuk memasang tangki baharu jenis polyethylene berkapasiti 600 gelen, memasang saluran paip dan pam air baharu dan menukar kepala paip sedia ada kepada peranti jimat air.
“Kami turut menyumbangkan 35 unit peranti penjimatan air, sebuah pam baharu serta pam tsunami berkuasa satu kuasa kuda bagi meningkatkan tekanan air agar penduduk di sini dapat menikmati bekalan air yang lebih kuat dan lancar.
“Selain itu, beberapa penambahbaikan kemudahan turut dilaksanakan melibatkan ruang menunggu lelaki dan wanita, tandas, bilik lelaki, ruang lobi serta kawasan taman yang menggunakan bekalan air tersebut untuk tujuan penyiraman dan penyelenggaraan kawasan.
“Inisiatif tersebut diharap dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi pusat jagaan berkenaan secara berterusan, sekali gus memastikan keselesaan dan kesejahteraan warga emas,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah, Nurul Atikah Mohd. Azmi berkata, pusat kebajikan yang menempatkan seramai 70 warga emas itu sering berdepan masalah gangguan bekalan air dan tekanan air rendah sehingga memaksa pengurusan melaksanakan catuan terutama pada waktu puncak.
“Keadaan itu menyukarkan penghuni warga emas menjalani rutin harian, selain menjejaskan operasi pusat jagaan termasuk penyediaan makanan, cucian pakaian dan kerja-kerja pembersihan bilik penghuni,” katanya.
Dalam pada itu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Ziarah Kasih Lestari PAAB turut diserikan dengan penyerahan sumbangan barangan keperluan dan pakaian, menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Semua penghuni turut diraikan menerusi sesi perkongsian bersama penceramah, Ustaz Nazri Abbas serta artis, Datuk Nash bagi menceriakan mereka. – UTUSAN










