KUALA LUMPUR: Penganjur festival Latihan Pesta Pora 2026 (LPP), Rohit Rampal, tidak menolak kemungkinan akan ada penambahan artis bagi memeriahkan festival muzik tersebut yang dijadual berlangsung Ogos ini.
Menurut Rohit yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, pengumuman mengenai penambahan artis bagaimanapun tidak akan dibuat dalam masa terdekat kerana pihak penganjur masih memberi tumpuan kepada penjualan tiket fasa kedua.
“Berkemungkinan akan ada penambahan artis, namun kami belum bersedia untuk membuat pengumuman dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, kami akan membuka jualan tiket bagi fasa kedua selepas berjaya menjual lebih 5,000 tiket pada fasa pertama,” katanya.
Rohit berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Latihan Pesta Pora 2026 di Royal Selangor Club, Bukit Kiara, baru-baru ini.
Mengulas mengenai penganjuran tahun ini, Rohit berkata, pihaknya mengambil serius segala kritikan dan maklum balas yang diterima daripada pengunjung tahun lalu dengan melakukan pelbagai penambahbaikan terhadap keseluruhan struktur festival.
Katanya, antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk penyediaan zon hidrasi bagi membolehkan pengunjung mengisi semula air minuman secara percuma tanpa had.
“Kali ini kami mempunyai pasukan yang jauh lebih besar untuk mengendalikan pengurusan festival. Kami juga menyediakan zon hidrasi supaya pengunjung boleh membawa tumbler sendiri.
“Selain itu, ruang santai dan kemudahan lain turut ditambah baik demi memastikan pengalaman yang lebih selesa kepada pengunjung.
“Kami banyak belajar daripada respons pengunjung sebelum ini dan mahu memberikan pengalaman festival yang lebih baik serta menyeronokkan.
“Malah, tahun ini juga menyaksikan penglibatan lebih ramai pihak dari Indonesia bagi membantu memperkemaskan penganjuran festival,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rohit memaklumkan pihaknya kini sedang berbincang dengan penganjur Pesta Pora di Indonesia, Kiki Ucup, mengenai kemungkinan penglibatan artis Malaysia di festival berkenaan di Jakarta.
“Kami masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat setakat ini,” ujarnya.
Terdahulu, Latihan Pesta Pora 2026 mengumumkan seramai 14 artis dari Malaysia, Brunei dan Indonesia bakal memeriahkan festival itu tahun ini.
Antara artis yang disenaraikan ialah Aisha Retno, Aziz Harun, Gerhana Skacinta, Masdo, Insomniacks dan FUGŌ.
Turut membuat persembahan ialah Tulus, Romantic Echoes, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama Soneta dan Nadhif Basalamah.
Latihan Pesta Pora 2026 akan berlangsung pada 15 Ogos nanti di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dengan kapasiti 13,000 pengunjung. -UTUSAN










