Misteri kematian Ulung Deris

Misteri kematian Ulung Deris (Siri 2)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keesokan paginya sebaik bangun tidur, Hisham terus ke dapur untuk bersarapan bersama keluarganya. Namun dia pelik apabila melihat kedua ibu bapanya sudah bersiap-siap untuk keluar.

“Eh, emak dengan ayah hendak ke mana pula pagi-pagi ini? Tanyanya sambil menggosok mata.

Pelik pula dia lihat mereka yang seakan terburu-buru untuk keluar seperti ada perkara yang amat penting ketika itu.

“Laa, kau tidak tahu ke Ulung Deris sudah meninggal dunia malam tadi? Jawab ibunya sambil mencapai selendang yang disidai di ampaian.

Hisham terdiam. Kaget dia apabila dengar kata-kata yang keluar dari mulut ibunya ketika itu. Dia seakan tidak percaya. Masakan bapa saudaranya itu boleh meninggal secara mengejut begitu sedangkan baru malam tadi dia terserempak dengan orang tua itu.

“Tok Ulung meninggal dunia malam tadi pukul berapa mak? Tanya Hisham inginkan kepastian.

Terus ibunya tarik kerusi sambil menuang air di cawan berhampiran Hisham.

“Kata Mak Andak, Tok Ulung meninggal dunia lebih kurang pukul 10 malam tadi. Entahlah, mak pun tak tahu cerita sebenar,” kata ibunya perlahan.

Tersirap darah Hisham bila dengar jawapan ibunya. Terus otaknya ligat berfikir. Tak mungkin Ulung Deris meninggal dunia pada waktu tersebut sedangkan dia menumpangkan arwah pun sudah pukul 1 pagi, mungkin ibunya tersalah dengar agaknya, fikirnya dalam hati.

Terus dia menceritakan kisah yang berlaku malam tadi. Terlopong mulut ibu dan ayahnya sebaik mendengar cerita Hisham.

“Kau biar betul Hisham. Jangan pula kau hendak ada-adakan cerita. Sahih ke orang yang kau tumpangkan itu Ulung Deris?” Tanya ayahnya dengan muka berkerut.

“Takkanlah saya hendak buat cerita pula ayah. Saya sendiri yang tumpangkan Tok Ulung. Saya sempat bersembang lagi dengan dia, tapi itulah macam-macam saya tanya tapi dia senyap tak menjawab. Sudahnya, dia minta saya turunkan dia di simpang jalan masuk ke Kampung Tengah,” jawab Hisham panjang lebar.

Sekali lagi ibu dan ayahnya berpandangan. Mereka tahu tidak mungkin Hisham berbohong, malah tiada untungnya pun jika anaknya itu mengada-adakan cerita.

“Tak apalah. Tak payahlah kita panjangkan kisah ini. Sekarang ini kita pergi rumah arwah dan uruskan jenazah secepat mungkin. Kata Siak Deraman kalau boleh hendak kebumikan pagi ini juga,” kata ayahnya sambil mencapai kunci motosikalnya.

Hisham tidak tunggu lama. Sebaik selesai sarapan dia terus mandi dan bersiap. Dia juga perlu segera ke rumah arwah. Jika tidak nanti, tidak dapatlah dia melihat bapa saudaranya itu buat kali terakhir.

Sebaik sahaja sampai di halaman rumah arwah, Hisham lihat sudah ramai penduduk kampung hadir. Terus Hisham masuk ke ruang tamu, dilihatnya jenazah sudah siap dimandi dan sedia untuk dikafankan.

Hisham terus bantu mereka menguruskan jenazah arwah. Namun dia terkejut apabila melihat keadaan tubuh Ulung Deris yang amat berbeza semasa hayatnya.

Wajahnya sudah kecut tanpa daging sehingga menampakkan kulit pipinya yang melayut, nampak seperti hanya kulit sahaja yang tinggal menutupi tulang dan rahang pada wajahnya.

Kelopak matanya sudah cengkung dan matanya seakan terperosok ke dalam. Mulutnya pula sedikit ternganga sehingga menampakkan rahangnya yang tersembul keluar di kedua-dua belah pipinya.

Sekali pandang wajah Ulung Deris amat menyeramkan. Namun Hisham cuba berlagak biasa seolah tiada apa yang berlaku. Namun dia perasan juga beberapa pemuda berdekatannya berbisik sesama sendiri. Mungkin mereka juga terkejut melihat keadaan Ulung Deris yang berbeza berbanding sebelumnya.

Hisham berfikir dalam hati, jika benar Ulung Deris meninggal malam semalam masakan mayatnya berubah sebegini rupa. Jika sebelum ini arwah sakit terlantar lainlah ceritanya, tapi dia sihat walafiat, malah sebelum dia meninggal dunia pun dia dapat tahu arwah masih lagi berkebun di ladangnya. Memang tidak masuk akal!

Alhamdulillah, urusan menguruskan jenazah Ulung Deris berjalan lancar tanpa kesulitan. Beberapa pemuda yang sibuk membuat keranda di bangsal berdekatan juga sudah memberi isyarat, tanda jenazah sudah boleh dikebumikan.

Jenazah Ulung Deris kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan. Ramai juga penduduk kampung yang mengiringinya, mungkin disebabkan jasa arwah yang banyak membantu mereka selama ini.

“Eh, bila kau sampai Sham? Tanya rakan sekampungnya, Munir ketika berada di tanah perkuburan.

Terus Hisham ceritakan kisah di mana dia terima panggilan mengejut daripada adiknya petang semalam yang mengatakan Ulung Deris sakit tenat,

Sambungnya, sebagai anak saudara tidak manis pula kalau dia tidak pulang ke kampung, walaupun ada perasaan ralat kerana tidak dapat berjumpa arwah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

“Iyalah, aku pun terkejut juga bila dengar berita arwah meninggal sedangkan sebelum ini aku lihat arwah sihat, tak nampak pula dia ada tanda-tanda sakit sebelum ini,” kata Munir panjang lebar.

Hisham angguk perlahan. Memang benarlah apa yang dikatakan Munir itu. Dia sendiri sedia maklum arwah memang sihat sebelumnya. Namun siapa yang boleh menghalang qada dan qadar, semuanya sudah tertulis di Luh Mahfuz.

“Tapi kan Sham, ada satu perkara aku nak cerita dengan kau ini. Tapi kau janganlah fikir lain pula. Aku bukan hendak buruk-burukkan arwah, cuma aku berasa pelik. Itu saja,” kata Munir perlahan.

Hisham terdiam. Cerita apa pula yang ingin disampaikan Munir kepadanya itu, bisiknya dalam hati. Serta merta dia menarik Munir ke tepi. –UTUSAN

 

bersambung

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN