KUALA LUMPUR: Pertambahan 8,800 keahlian baharu Pemuda UMNO disifatkan sebagai petanda sambutan luar biasa terhadap parti itu yang kini memasuki usia 80 tahun.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan itu mencerminkan minat yang semakin ketara dalam kalangan anak muda untuk bersama UMNO.
Katanya, trend pendaftaran dalam talian turut memudahkan kemasukan ahli baharu, sekali gus menyumbang kepada lonjakan keahlian, khususnya sayap Pemuda.
“Kita lihat maklum balas daripada golongan muda, semakin ramai yang mendaftar masuk UMNO. Daripada jumlah itu, 8,800 adalah ahli Pemuda sahaja dan belum termasuk Puteri.
“Jadi kita nampak sejak pendaftaran dalam talian ini ramai yang menunjukkan minat terhadap UMNO. Saya rasa agak luar biasa sebab saya tidak pernah tengok semangat orang muda hanya hendak menjadi ahli UMNO,” katanya ketika ditemui dalam Program Pickleball Lepak Santai Anak Muda di sini, hari ini.
Menyifatkan UMNO parti paling stabil hari ini, Khairy menjangkakan ia menjadi antara faktor UMNO menjadi pilihan orang muda.
“Mungkin mereka sudah hampiri semua parti, selepas itu saya nampak mereka ada nostalgia dengan UMNO, mungkin mereka remaja pada waktu itu, sekarang sudah berumur 18 tahun dan sudah boleh menjadi ahli. Jadi dia fikir daripada semua dia sudah cuba, semua parti pun sudah mentadbir negara, mereka merasakan yang paling stabil dan ada rekod yang baik adalah UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, UMNO bukan sebuah parti rigid, malah memberi ruang kepada golongan muda untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Malah Pilihan Raya Kecil (PRK) pun kali ini kita ketengahkan orang mud, tidak pernah lagi calon pemuda untuk PRK, tetapi alhamdulillah bila kita ketengahkan calon pemuda, Maksudnya bagi ruang kepada orang muda,” katanya.-UTUSAN










