Memahami amuk, sebuah kejantanan dalam Tarung: Unforgiven - Utusan Malaysia

Memahami amuk, sebuah kejantanan dalam Tarung: Unforgiven

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tidak faham sensasi yang ada ketika masih kecil, sepupu dan beradik lelaki berkumpul di ruang tamu rumah nenek, berjaga malam semata-mata menonton wrestling.

Saya juga tidak faham ketika seorang kawan berkata ‘waktu sekolah asrama dahulu, aku pernah gigil tahan diri nak join budak-budak bertumbuk’. Persoalan itu bukan bermaksud ada yang silap, sekadar rasa ingin tahu yang sedikit lebih kuat tentang sebuah kejantanan, kelelakian dan maskuliniti yang tidak saya alami. Rasa dan tanya yang sama akan hadir setiap kali menonton filem Razaisyam Rasyid terutama untuk tiga naskhah terakhirnya.

Razaisyam dalam pengamatan saya adalah seorang tukang cerita yang selalu mempunyai cara tersendiri mendekati juga mempersembahkan perihal maskulin dalam karyanya walaupun mungkin kita pernah melihat tema sama disentuh David Fincher, Christopher Andrews, Chad Stahelski hingga Adman Salleh.

Tapi dalam Tarung: Unforgiven, Razaisyam dan pasukan penulis skripnya lebih jelas memperlihatkan kepada kita tentang sistem; yang juga sebuah perangkap dan siapa pula menjadi ayam sabungnya. Macam gladiator dalam tradisi lama Rome, cuma mereka tidak menentukan pemimpin seperti di Marga.

Sistem yang dipegang geng kongsi gelap Marga berasaskan kepada hierarki dominasi ‘kau kuat, kau pegang KL’, setiap kumpulan (paduka) perlu menghantar ayam sabung mereka untuk membuktikan siapa paling kuat. Pemilik ayam sabung akan menjadi ‘Tok Marga’, menduduki kerusi paling tinggi dalam hierarki. Dalam sistem ini, curiga akan lahir di mana-mana, walaupun ‘setia’ menjadi rukun dalam Marga, tapi bolehkah kita setia dalam sangsi yang sentiasa ada?

Jurnal The nature of human aggression tulisan John Archer tentang tingkah laku fizikal lelaki banyak memudahkan saya memahami Hatta (Mierul Aiman) dan Isa (Aedy Ashraf) bahawa kejantanan lelaki perlu dicabar dan dibuktikan.

Hatta tidak akan sesekali membuka buah silatnya jika tidak dipanggil ‘adik’, jika tidak kerana mahu melindungi Ucop (Amir Ahnaf) atau merasa keselamatan kakaknya, Aisha (Sharifah Sakinah) sedang terancam. Isa tidak akan masuk gelanggang jika tidak kerana melihat kehadiran Hatta sebagai bahaya membawa kembali luka lamanya.

Mereka tidak akan berpencak jika tidak berasa diancam. Rasa tercabar ini memicu testosteron iaitu hormon steroid lelaki membuatkan mereka cepat bertindak balas. Apa lagi suasana dalam Marga sendiri membuatkan mereka perlu sentiasa menang.

Ada satu perkataan Melayu yang tidak boleh diterjemah ke dalam bahasa Inggeris iaitu ‘Amok’ atau kini dieja Amuk, iaitu sebuah letusan daripada sesuatu yang dipendam antara dendam, darah dan nyawa. Lebih daripada sekadar marah. Lebih daripada sekadar terluka. Saya melihat amok di dalam Hatta ketika dia melangkah ke gelanggang, matanya memperaga takut, keliru, amarah, maruah, juga panggilan nyawa dibalas nyawa.

Namun ketika lawannya adalah Isa, pandangan mata itu meredup, ada tangis, rintih dalam genangan terhadap masa-masa lalunya kepada Isa, Idris dan Ucop. Saya tidak tahu bagaimana Mierul Aiman melakukan itu.

Kemenangan sebenar adakah ketika Hatta tidak membenarkan amuk menguasai dirinya, juga ketika maaf dan memaafkan berdiri lebih tinggi daripada segala ego dan masa lalu hingga merubah sejarah yang pernah terjadi di Marga. Hatta dan Isa masing-masing tahu di belakang mereka ada lebih besar perlu dilindungi dan dimenangkan daripada dendam.

Filem Tarung: Unforgiven semacam peringatan bahawa menjadi lelaki adalah menjadi seseorang yang melindungi, juga cukup bijak mencermati siapa lawannya yang sebenar. Hatta, Isa, paduka dan seluruh warga Marga sedia bertarung, tapi tarungnya tidak pernah menyakiti perempuan baik kepada Aisha juga Dahlia yang menangis di depan lif.

Ketika kita tidak dapat mengawal amarah, atau menilai siapa lawan sebenar, kita tetap ayam sabung kepada dendam dan masa lalu. Kita akan selamanya kalah dan kekal di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN