MELAKA: Kadar sewa semua premis milik kerajaan negeri, anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberikan percuma bagi tempoh sebulan atau potongan sebanyak 30 peratus bermula Julai.
Pengerusi Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif itu melibatkan semua premis perniagaan milik PBT sebagai langkah meringankan beban peniaga.
Menurutnya, sewaan percuma melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM2.6 juta bagi tempoh sebulan yang ditanggung kerajaan negeri.
Beliau berkata, bagi premis di bawah PBT, peniaga tidak perlu membayar sewa bulan Julai manakala agensi kerajaan negeri dan anak syarikat pula menawarkan diskaun sehingga 30 peratus tertakluk kepada kemampuan masing-masing.
Ujarnya, keputusan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu golongan peniaga yang terkesan dengan situasi ekonomi hari ini.
“Kita faham kebanyakan peniaga di premis di seluruh negeri ini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian, jadi bantuan ini diharap dapat memberi kelegaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyantuni peniaga di Medan Samudera, Banda Hilir di sini, semalam.
Rais berkata, kerajaan negeri turut memberikan potongan sebanyak 50 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja bermula Julai hingga Disember ini.
Jelasnya, bagi penjaja yang telah memperbaharui lesen sebelum tempoh tersebut mereka layak menikmati diskaun 50 peratus semasa pembaharuan lesen pada 2027. – UTUSAN










